Berita

21 konsert bakal dianjurkan 2025, jana RM80.25 juta

- Diterbit 8 November 2024 12:01 PM MYT

SEBANYAK 21 permohonan penganjuran konsert telah dikemukakan penganjur melibatkan artis luar negara yang bakal diadakan pada tahun depan.

Kementerian Komunikasi memberitahu, ia berdasarkan rekod pra permohonan sehingga 31 Oktober lalu yang dikemukakan kepada pihak kementerian melalui Unit Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).

Menurutnya, penganjuran 21 konsert ini dijangka melibatkan 160,500 penonton yang akan memberikan limpahan ekonomi RM80.25 juta.

“Ia (limpahan ekonomi) melibatkan pelbagai sektor seperti perhotelan, sewaan, pengangkutan dan makanan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Kementerian Komunikasi menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai senarai konsert yang akan diadakan di negara ini pada tahun depan.

Kementerian itu menambah, jumlah itu akan bertambah kerana syarat permohonan adalah 14 hari sebelum konsert diadakan.

“Kita komited dalam menyokong penganjuran konsert di negara ini khususnya melibatkan persembahan artis luar,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas