Berita

2025 tahun mencabar untuk DBKL

Foto: DBKL
- Diterbit 10 Februari 2025 1:38 PM MYT

PELBAGAI inisiatif akan dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan Kuala Lumpur terus berkembang sebagai sebuah bandar raya yang progresif dan berdaya saing.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, berkata fokus utama DBKL tahun ini adalah memastikan pembangunan bandar berjalan secara seimbang dan berstruktur dengan mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat.

“Tahun ini bakal menjadi tahun yang mencabar untuk kami, bagaimanapun DBKL berusaha untuk memperkasakan keterlibatan komuniti dalam setiap inisiatif yang dijalankan agar Kuala Lumpur berkembang sebagai sebuah bandar yang lebih inklusif dan harmoni.

“Pada masa sama, usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon akan terus dipergiatkan menerusi pelbagai inisiatif hijau dan mampan,” katanya dalam ucapan pada Malam Apresiasi Media 2025 yang berlangsung di Dewan Kiku, Aras 43, Malaysian Petroleum Club, Menara 2 KLCC.

Maimunah, juga berkata DBKL komited dalam memastikan penyampaian maklumat kepada masyarkat dilakukan secara lebih telus dan berkesan.

Kecekapan tadbir urus bandar juga menjadi keutamaan bagi memastikan setiap perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta memberi manfaat kepada warga kota.

“Tahun ini juga menyaksikan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, selain dua acara besar lain, iaitu Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) serta Asian Sustainable Urban Forum.

“Persiapan sedang giat dijalankan bagi memastikan Kuala Lumpur bukan sahaja bersedia dari segi pengurusan acara, tetapi juga dalam mempersembahkan imej sebagai sebuah bandar raya moden, dinamik dan bertaraf antarabangsa,” katanya lagi.

Selain menumpukan kepada acara bertaraf dunia, DBKL juga terus menitikberatkan keperluan dan kebajikan warga kota.

Setiap teguran, cadangan serta kritikan membina daripada masyarakat katanya akan terus diambil perhatian bagi memastikan Kuala Lumpur berkembang sebagai sebuah bandar raya yang lebih progresif, inklusif dan sejahtera.

Terdahulu, Maimunah meraikan kira-kira 100 pengamal media dari pelbagai agensi media cetak dan elektronik menambah

Majlis itu dianjurkan bagi meraikan pengamal media yang telah bertungkus lumus dalam menyampaikan maklumat serta menjayakan komunikasi yang efektif antara DBKL dan masyarakat umum

Maimunah turut menekankan mengenai kepentingan hubungan erat antara DBKL dan pihak media dalam membentuk persepsi positif terhadap pembangunan bandar raya.

Beliau menegaskan media bukan sekadar penyampai berita, tetapi juga pemudah cara dalam membina kepercayaan masyarakat terhadap setiap inisiatif yang dilaksanakan demi kesejahteraan Kuala Lumpur.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas