Berita

20 pemain sertai kejohanan hoki piala dunia remaja wanita di afrika selatan

PENYENARAIAN kesemua pemain itu adalah menerusi penilaian serta pemerhatian dilakukan pada Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022.
- Diterbit 21 Mac 2022 8:37 AM MYT

SERAMAI 20 pemain dipanggil untuk membawa cabaran negara pada Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Remaja Wanita di Potchefstroom, Afrika Selatan dari 1 hingga 12 April depan.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam kenyataan memaklumkan penyenaraian kesemua pemain itu adalah menerusi penilaian serta pemerhatian dilakukan pada Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022, selain pemain sedia ada bersama Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan.

Pengendali Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim berkata pemilihan pemain itu melibatkan dua penjaga gol, tujuh pemain pertahanan, empat pemain tengah dan tujuh penyerang.

Beliau berkata pemilihan 20 pemain itu berdepan kesukaran berikutan banyak bakat baharu dikenal pasti dalam saingan TNB MHL 2022 selain pemain sedia ada bersama Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan yang menunjukkan peningkatan dari segi keyakinan dan prestasi mereka.

“TNB MHL 2022 adalah pentas pemilihan pemain bagi skuad itu yang akan beraksi pada April dan barisan kejurulatihan membuat penilaian daripada pelbagai sudut untuk melengkapkan senarai 20 pemain yang mantap.

“Pemain yang bukan dari Skuad Projek Khas Hoki Wanita Kebangsaan juga diperhatikan (prestasi mereka) daripada bermula TNB MHL 2022 dan pemain-pemain tersebut mencapai tahap kualiti yang baik untuk dipilih ke Kejohanan Piala Dunia Remaja Wanita 2022,” kata KHM.

Pada kejohanan itu, Malaysia dijadual bertemu Jerman pada 2 April diikuti Wales pada hari berikutnya sebelum berdepan India pada 5 April. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas