Berita

2.3 juta pengunjung hadir ke MAHA 2024 setakat hari ketujuh

- Diterbit 18 September 2024 12:06 PM MYT

PAMERAN Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang memasuki hari ketujuh telah mencatatkan jumlah kehadiran pengunjung seramai 2.3 juta setakat ini.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri berkata pihaknya yakin sasaran tiga juta pengunjung pada MAHA 2024 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dari 11 hingga 22 Sept ini mampu dicapai dalam tempoh terdekat.

“(Setakat ini, nilai) jualan terus telah mencapai RM17.30 juta dan nilai MoU (Memorandum Persefahaman) dan juga MoA (Memorandum Perjanjian) sebanyak RM3.1 bilion berbanding RM6 bilion yang disasarkan,” katanya ketika menjadi tetamu Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Beliau berkata edisi MAHA kali ini meliputi lima kluster iaitu Kingdom of Agro Food, Food Empire & Food Viral, Food Truck Fiesta, Food Trade dan Rhythm of Farmers.

“Tahun lepas, Kluster Kingdom of Agro Food atau yang menjual anak benih, buah-buahan dan sayur-sayuran telah mencatat angka jualan tertinggi iaitu lebih RM4 juta dan pada tahun ini, kita sasarkan RM5 juta. Sekarang ini dah cecah RM3 juta.

“Kita ada lima segmen dalam Food Empire iaitu best out of the best dari empat negeri iaitu Gulai Tempoyak dari Pahang, Nasi Ambeng dari Selangor, Mi Bandung dari Johor dan Nasi Ganja dari Perak,” katanya sambil menambah sebanyak 1,001 jenis makanan dan minuman dijual pada edisi kali ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas