SERAMAI 193 daripada 205 pekerja Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd telah diserap ke dalam syarikat baharu.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pekerja terlibat telah ditamatkan perkhidmatan pada 31 Mac.
“Berpandukan notis yang dikeluarkan pada 18 Disember lalu, Kementerian Komunikasi telah meminta syarikat baru mengambil semua pekerja kerana ramai pekerja yang ada sudah 17,20 tahun berkhidmat dan bekerja di sana,” katanya pada sidang media di Menara Angkasapuri hari ini.
Hadir sama, timbalannya, Teo Nie Ching.
Fahmi berkata Menara Kuala Lumpur juga akan dibuka semula kepada orang ramai selepas kerja penyelenggaraan selesai dilakukanoleh konsesi baharu.
“Pemantauan petugas kementerian di Menara KL mendapati ada perkakas di dapur dan beberapa ruangan di lokasi berkenaan tidak berada dalam keadaan selesa untuk pengunjung,” katanya.
Fahmi berkata bermula 1 April lalu, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur telah diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM).
“Penting untuk kita sebut Menara KL adalah sepenuhnya hak milik kerajaan yang diurus operasinya oleh Kementerian Komunikasi.
“Pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) di atas tapak Menara Kuala Lumpur selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.
“Sehubungan itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB melalui surat bertarikh 3 dan 9 April 2025,” katanya. – WILAYAHKU