SERAMAI 191,832 orang pelarian dan pemohon suaka telah didaftarkan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini, mengikut rekod sehingga September tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu, negara tertinggi adalah dari Myanmar iaitu seramai 168,813 orang atau 88 peratus.
Katanya, ini diikuti Pakistan iaitu seramai 5,755 orang; Yaman (3,837 orang), manakala Afghanistan dan Somalia masing-masing seramai lebih kurang 1,918 orang.
“Pelarian dan pemohon suaka yang berasal dari lain-lain negara merangkumi lima peratus daripada keseluruhan pelarian dan pemohon suaka yang berada di negara ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol mengenai bilangan pelarian yang berada di Malaysia ketika ini.
Dr Zaliha berkata, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada masa ini mengguna pakai Arahan MKN No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (semakan 2023) yang telah ditandatangani Perdana Menteri pada 14 Jun 2023 bagi mengurus dan menyelia segala perihal berkaitan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia.
Arahan itu katanya, merangkumi mekanisme pengurusan pelarian dan pemohon suaka, perincian penentuan status pelarian oleh kerajaan, penguatkuasaan undang-undang kepada pelarian dan pemohon suaka dan sistem sokongan sosial yang akan diberikan kepada golongan itu.
“Sebelum mekanisme pelaksanaan di bawah Arahan MKN No. 23 ini dapat dilaksanakan, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu membangunkan sistem pendaftaran pelarian yang akan digunakan khusus untuk pendataan golongan ini di Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, dokumen itu bertujuan untuk mendapatkan pendataan bagi mengurus pelarian dan pemohon suaka yang berada di dalam negara.
“Melalui pendataan ini juga, kerajaan mampu untuk mengawal serta memantau penglibatan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pelarian di dalam negara sekali gus menangani masalah sosioekonomi yang timbul akibat keberadaan pelarian di Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU