Berita

170,751 individu dibebaskan daripada bankrap

Foto: BERNAMA
- Diterbit 19 November 2024 11:35 AM MYT

SEJUMLAH 170,751 individu berjaya dikeluarkan daripada kebankrapan menerusi inisiatif Dasar Peluang Kedua bagi tempoh Mac 2023 sehingga September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jumlah tersebut turut merangkumi golongan muda berusia 40 tahun ke bawah dan hutang tidak melebihi RM200,000.

Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan kerajaan khususnya untuk membantu golongan muda yang bankrap keluar daripada masalah tersebut.

“Golongan muda yang telah dilepaskan daripada kebankrapan berpeluang memulakan kehidupan baharu.

“Pelepasan daripada kebankrapan membuka peluang untuk mereka menikmati perluasan peluang kerjaya termasuk dalam bidang profesional dan bidang perniagaan bagi memperkasa ekonomi diri dan keluarga,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai Dasar Peluang Kedua kepada anak muda yang dilepaskan status muflis.

Azalina berkata, agensi kerajaan yang lain seperti SME Bank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Agrobank turut berperanan membantu golongan orang muda menceburi bidang keusahawanan.

Katanya, kerajaan turut memberikan tumpuan khas kepada perkembangan ekonomi gig sebagai dimensi ekonomi baharu yang banyak melibatkan penyertaan golongan muda.

“Golongan muda juga hendaklah mengambil peluang untuk menyertai pelbagai program literasi kewangan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Mereka disarankan untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan kewangan yang kukuh yang dapat membantu mereka untuk mengelak berlakunya keterhutangan yang serius,” katanya.

Beliau memberitahu, sebagai contoh, Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2024 dianjurkan Jaringan Pendidikan Kewangan dengan kerjasama Persatuan Ekonomi Malaysia (PEM) pada Oktober lalu.

Katanya, Bank Negara, AKPK dan Kementerian Pengajian Tinggi merupakan antara ahli FEN.

“Program ini menekankan penerapan kesejahteraan kewangan secara inklusif melalui peningkatan keupayaan kewangan, khususnya kepada golongan muda yang berumur 40 tahun ke bawah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas