Berita

17 struktur haram di PPR Jelatek diroboh DBKL

- Diterbit 4 November 2024 9:32 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah tegas dengan merobohkan sebanyak 17 struktur penjaja haram di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek hari ini.

Dalam hantaran di laman facebook, DBKL berkata tindakan tersebut bertujuan untuk memastikan aktiviti penjajaan haram tidak dibiarkan berleluasa, sekaligus memelihara imej dan reputasi Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya yang teratur dan bersih.

“Aktiviti penjajaan haram yang semakin bertambah ini bukan sahaja memberikan imej negatif kepada persekitaran, malah mengganggu lalu lintas, utiliti awam, dan menjejaskan kebersihan,” katanya.

Tegas DBKL, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang mementingkan diri sendiri dengan membina struktur secara haram yang mencetuskan pelbagai masalah kepada penduduk.

“Tindakan perobohan ini dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Air Selangor, setelah notis pemakluman selama 14 hari diberikan kepada penjaja haram untuk mengosongkan tapak,” katanya.

Menurut DBKL, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan Persatuan Penduduk PPR Jelatek dan beberapa siri bancian bagi mengenalpasti penjaja yang tidak aktif.

“DBKL ingin menegaskan bahawa mana-mana struktur penjaja haram di kawasan PPR akan terus dibendung bagi mengelakkan pencerobohan berulang dan memastikan kawasan perumahan sentiasa selesa untuk didiami,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas