Berita

160,000 penduduk Malaysia berusia 50 tahun ke atas alami masalah penglihatan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 17 November 2023 6:50 AM MYT

HASIL Tinjauan Mata Kebangsaan Ketiga (NES III) yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati, 160,000 penduduk Malaysia berusia 50 tahun ke atas mengalami masalah kurang penglihatan, dan lapan peratus daripadanya pula mengalami kebutaan.

NES III dijalankan pada Julai hingga Oktober 2023 di Zon Timur melibatkan negeri Pahang, Kelantan, Terengganu dan Zon Sarawak, yang bertujuan mengkaji prevalens kebutaan dan masalah penglihatan dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 50 tahun dan ke atas.

Pakar Perunding Oftalmologi (Kesihatan Awam) yang juga penyelidik NES III, Dr Mohamad Aziz Salowi berkata berdasarkan NES III, prevalens kebutaan di Zon Timur dan Zon Sarawak itu menurun secara signifikan berbanding Tinjauan Mata Kebangsaan II pada 2014, yang dilaksanakan di zon yang sama.

“Pada NES III, enam daripada 1,000 penduduk Sarawak mengalami kebutaan berbanding 16 orang daripada 1,000 penduduk pada 2014,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran NES III di sini hari ini.

Bagi Zon Timur, lapan daripada 1,000 penduduk mengalami kebutaan pada NES III berbanding 14 orang daripada 1,000 penduduk pada 2014.

Dr Mohamad Aziz berkata penyebab utama masalah kebutaan di kedua-dua zon tersebut, disebabkan katarak, retinopati diabetes dan glaukoma.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni dalam ucapan perasmiannya berkata setakat September lepas, anggaran pembedahan kes katarak yang dilakukan di 49 hospital pakar KKM adalah antara 55,000 hingga 60,000 kes, melibatkan individu 60 tahun hingga 70 tahun ke atas.

Beliau berkata KKM juga telah melaksanakan Klinik Katarak KKM (KK-KKM) sejak 2013, untuk mengatasi bebanan kes katarak secara sistematik dengan mewujudkan Zon Bebas Katarak di seluruh negara.

KK-KKM merupakan inovasi KKM bagi menambah baik perkhidmatan dalam menangani masalah kebutaan, khususnya yang disebabkan oleh katarak dan ia menyediakan akses pemeriksaan dan rawatan mata kepada rakyat, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Katarak merupakan suatu keadaan di mana kanta mata yang jernih menjadi keruh dan boleh diumpamakan seperti tingkap yang sebahagiannya diselaputi kotoran. Ia terjadi akibat proses penuaan, kecederaan mata, penyakit tertentu atau pengambilan sesetengah jenis ubat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas