Utama

16 permainan tradisional meriahkan Fiesta Sukan Hari WP

PENOLONG Pengarah, Jabatan Kebudayaan Kesenian Pelancongan dan Sukan, Nur Fatin Nadhirah Mohd Khirzam bersama para pemenang OKU.
- Diterbit 4 Mac 2022 7:33 AM MYT

LEBIH 16 acara permainan tradisional disertai warga kota pada acara Fiesta Sukan Hari Wilayah Persekutuan 2022 baru-baru ini sempena Sambutan Jubli Emas yang Ke-50, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dianjurkan oleh DBKL, antara permainan tradisional yang dipertandingkan pada fiesta yang berlangsung di Taman Rekreasi Pudu Hulu, Cheras adalah Dam Aji, Congkak, Batu Seremban dan Terompah Gergasi.

 

Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Khairul Azmir Ahmad, acara yang diadakan turut menerapkan konsep perpaduan dan persefahaman di antara warga kota yang berbilang kaum.

PESERTA OKU tekun dalam pertandingan congkak menentang lawan.
PERTANDINGAN Dam Aji menjadi pilihan para peserta.

“Kehadiran pelbagai bangsa dan lapisan usia menjadikan Keluarga Malaysia dapat berhimpun dengan semangat perpaduan dan cintakan permainan tradisional yang sentiasa mendapat di hati masyarakat Malaysia.

“Dengan penganjuran program seumpama ini mampu menyemarakkan rasa cinta masyarakat terhadap permainan tradisional walaupun ia kelihatan santai.

“Selain itu, ia juga dapat mengukuhkan ikatan silaturahim dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, fiesta tersebut juga diharap dapat mengimbau kembali permainan tradisional yang ada di Malaysia.

“Ia juga salah satu usaha untuk memastikan permainan tradisional masyarakat di Malaysia akan terus dipelihara untuk tatapan generasi akan datang,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, DBKL akan memperbanyakkan lagi penganjuran program dan aktiviti untuk komuniti yang bersesuaian dengan pelbagai lapisan umur warga kota Kuala Lumpur.

ACARA Terompah Gergasi sentiasa dinantikan oleh para peserta.
PERSEMBAHAN Silat Gayung yang diadakan pada acara Fiesta Sukan Hari Wilayah Persekutuan 2022.
PESERTA teruja menyertai acara Lari Dalam Guni.

“Lebih 250 peserta termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) hadir yang mana rata-ratanya menzahirkan ucapan terima kasih kepada DBKL kerana menyediakan acara permainan kepada mereka dan berharap ia dapat diadakan lagi,” tambah beliau.

Terdahulu, dua kategori pertandingan disediakan iaitu terbuka dan OKU.

Selain permainan tradisional seperti Boling Kelapa, Dadu Beracun, Lari Dalam Guni turut juga diadakan pertandingan seni mempertahankan diri iaitu silat, wushu dan silambam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas