SEJUMLAH 153,904 kemalangan melibatkan jentera berat direkodkan bagi tempoh 2021 sehingga tahun lalu dengan sebahagian besarnya adalah kenderaan lori.
Menurut Kementerian Pengangkutan (MoT), daripada jumlah itu, lori mencatatkan jumlah kemalangan sebanyak 138,770 manakala selebihnya iaitu 15,134 (bas).
Jelasnya, melalui data siasatan kemalangan terperinci oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) antara 2011 hingga 2016 yang melibatkan kenderaan bas dan lori, 71 peratus disebabkan oleh faktor manusia.
“Ia meliputi pemanduan berbahaya iaitu sebanyak 35 peratus diikuti memandu laju (24 peratus), kelesuan (11 peratus) dan satu peratus lagi memandu di bawah pengaruh alkohol atau ubat-ubatan mengantuk,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
MoT menjawab soalan mengenai faktor utama berlakunya kemalangan yang berpunca daripada jentera berat (bas dan lori) yang semakin kerap berlaku dan kadangkala menyebabkan kehilangan ramai nyawa yang tidak bersalah.
Kementerian itu menambah, selain itu, dapatan melalui Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan kadar pematuhan Kod Amalan Industri (ICOP) yang tidak memuaskan dalam kalangan pengendali kenderaan berat berkemungkinan meningkatkan risiko kemalangan di jalan raya.
Hal demikian kerana katanya, kurangnya pengurusan keselamatan pekerjaan berkaitan jalan raya dalam syarikat tersebut.
“Ini juga dapat dilihat apabila kurangnya pemantauan dilakukan secara proaktif terhadap pemanduan pemandu melalui Sistem Penjejak Sejagat (GPS) yang dipasang pada kenderaan,” tambahnya. – WILAYAHKU