Berita

150,557 calon lepasan SPM ditawar ke IPTA

- Diterbit 16 Jun 2025 3:00 PM MYT

SERAMAI 150,557 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian peringkat Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) meliputi Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) menerusi UPUOnline.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan daripada jumlah tersebut, seramai 86,589 calon ditawarkan di UA, 42,058 calon ditawarkan di Politeknik, 20,427 Kolej Komuniti dan 1,483 di MARA BPT.

“Tawaran Laluan Khas secara keseluruhan adalah sebanyak 17,693 dengan pecahan tawaran iaitu 16,189 bagi Kategori B40, 590 Orang Kurang Upaya (OKU), 593 Atlet dan 321 Orang Asli.

“Selain itu, seramai 43 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapat tawaran. Secara keseluruhannya, sebanyak 349 program pengajian telah ditawarkan bagi sesi kali ini dengan pecahan 41 Sijil, 55 Asasi, 252 Diploma dan 1 Ijazah Sarjana Muda.

“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” maklum KPT dalam kenyataan.

Sementara itu, bagi calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, kementerian kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari bermula daripada 16 Jun 2025, pukul 12 tengah hari hingga 25 Jun 2025, pukul 5 petang.

Terdahulu, pada tahun ini, KPT telah menerima 223,624 permohonan yang layak bagi lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas