Berita

15,000 pengunjung meriahkan Program Iftar@KL

ZALIHA (tengah) menyampaikan cek kepada pemenang utama Pertandingan Pelita Kota yang dimenangi oleh Parlimen Titiwangsa.
- Diterbit 22 Mac 2025 11:18 PM MYT

KIRA-KIRA 15,000 pengunjung hadir memeriahkan Program Iftar @KL 2025 yang diadakan di Dataran Merdeka hari ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Program Iftar@KL merupakan program ikonik di Kuala Lumpur dan telah memasuki kali ke-13 penganjurannya.

“Bersempena program malam ini juga diadakan Malam 7 Likur dan terdapat dua lagi program utama iaitu pengedaran Bubur Lambuk Rewang Wira dan Pertandingan Pelita Kota.

“Sebanyak 8,000 pek bubur lambuk telah diedarkan secara percuma kepada pengunjung hari ini manakala bagi Pertandingan Pelita Kota pula melibatkan penyertaan dari 11 Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di mana tiga pemenang utama telah diumumkan sebentar tadi.

“Saya rasa ini program yang baik untuk dijadikan sebagai satu program tarikan kepada pelancongan khususnya di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Malam 7 Likur di Dataran Merdeka pada Sabtu.

ZALIHA (tengah) menyampaikan cek kepada pemenang utama Pertandingan Pelita Kota yang dimenangi oleh Parlimen Titiwangsa.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Beliau berkata program seumpama ini juga akan diteruskan memandangkan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kota.

“Kalau kita lihat kehadiran pada hari ini hampir 15,000 membuktikan ia mendapat sambutan baik daripada orang ramai,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas