Berita

150 terima bakul makanan anjuran pejabat Parlimen Bandar Tun Razak

- Diterbit 5 Januari 2025 10:21 PM MYT

SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) bersama Islamic Socioeconomic Development Foundation (ISDEF), Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, Dapoq Street Cheras dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menganjurkan Program Bakul Makanan Madani bersama Komuniti Bandar Tun Razak.

Program itu dalam usaha memperkukuh jaringan bantuan kepada komuniti yang memerlukan.

Program itu bertujuan untuk memberi bantuan berupa bakul makanan kepada golongan yang kurang bernasib baik di sekitar kawasan Bandar Tun Razak.

Majlis sumbangan bakul makanan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di Dapoq Street, Cheras.

Dalam acara yang penuh bermakna ini, seramai 150 penerima yang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan telah menerima sumbangan bakul makanan yang disediakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai penaja utama.

Objektif program itu adalah untuk menyediakan bantuan makanan kepada golongan yang kurang bernasib baik di kawasan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Selain itu, ia bagi memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, NGO dan masyarakat untuk membina jaringan sokongan sosial yang lebih kuat.

Program ini juga menggalakkan semangat gotong-royong dan tanggungjawab bersama dalam membantu golongan yang memerlukan.

Sementara itu, Wan Azizah dalam ucapannya berkata program itu adalah simbol keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, terutama mereka yang terjejas akibat tekanan ekonomi yang semakin meningkat.

Beliau berkata usaha itu bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada penerima, tetapi juga mengukuhkan semangat kerjasama antara pelbagai pihak.

“Ini untuk mencapai matlamat bersama iaitu membantu mereka yang memerlukan dalam suasana penuh solidariti dan kasih sayang,” katanya. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas