Berita

15 selebriti tempatan galakkan kelestarian alam menerusi jualan garaj

|
- Diterbit 28 September 2020 5:08 AM MYT

KIRA-KIRA 15 selebriti dan personaliti media sosial membantu mengumpul dana untuk kanak-kanak kurang bernasib baik dengan menjual barangan peribadi mereka yang sudah digunakan.

Penganjur acara yang juga Mrs Malaysia World 2019/2020 Priya Simmi berkata selebriti dan personaliti media sosial ini berjaya mengumpul RM5,000 daripada penjualan barang mereka yang pernah dipakai ketika menghadiri acara dan penggambaran foto.

“Menjual barang terpakai adalah kaedah terbaik untuk melindungi alam sekitar dan menggalakkan kelestarian,” katanya kepada Bernama selepas jualan garaj itu yang dianjurkan oleh Events Black and White di sini semalam.

Beliau berkata jualan garaj itu diadakan untuk mengumpul dana buat lima beradik berusia tiga hingga 15 tahun yang ditinggalkan di bawah penjagaan nenek selepas ibu mereka meninggal dunia.

“Kanak-kanak ini, terdiri daripada dua lelaki dan tiga perempuan, dengan seorang daripadanya pekak dan bisu, tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang dengan nenek mereka yang bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,500,” katanya.

Priyaa berkata beliau juga akan membantu kanak-kanak ini mendapatkan dokumen pengenalan diri supaya mereka dapat bersekolah, terutamanya yang kurang upaya supaya dapat dihantar ke sekolah khas,” katanya.

Antara selebriti tempatan yang hadir ialah Sanjna Suri, Pashini, Revathi, Nikita Menon, Nithya RV dan Navinder Kaur. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas