SERAMAI 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan dalam satu Ops Sapu di sekitar pulau berkenaan, semalam.
Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai berkata, sepanjang operasi selama dua jam yabgberakhir pada jam 3.30 pagi itu berjaya mengesan 15 individu warganegara asing tanpa dokumen di beberapa penempatan dan kediaman yang dipercayai didiami warga asing.
Katanya, PATI yang ditahan melibatkan tiga lelaki, enam wanita dan enam kanak-kanak warga asing berusia 4 lingkungan 4 hingga 77 tahun.
“Semua individu terbabit ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“PATI yang ditahan berusia dan semua tahanan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan Depot Imigresen Labuan untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Raymond menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Passport 1966.
“Tindakan juga boleh diambil mengikut Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai ingin membuat sebarang aduan berkaitan PATI boleh menyalurkan maklumat kepada JIM menerusi talian 087-421 296.
“Maklumat juga boleh disalurkan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di pautan berikut https://imi.spab.gov.my/eApps/system/index.do ataupun menerusi e-mel [email protected],”katanya. – WILAYAHKU.