Berita

14,457 pengendali makanan tiada suntikan anti tifoid, 910 premis kotor diarah tutup

- Diterbit 30 Oktober 2024 1:14 PM MYT

SEJUMLAH 14,457 daripada 94,275 pengendali makanan yang diperiksa di seluruh negara didapati tidak mendapatkan suntikan anti tifoid.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), dapatan itu berdasarkan pemeriksaan dilakukan bagi tempoh Januari sehingga Jun lalu.

Malah katanya, bagi tempoh sama, sebanyak 910 premis diarahkan tutup kerana tidak bersih dan sejumlah 16,415 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan.

“Tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap pengendali dan pemilik premis makanan yang gagal memenuhi keperluan perundangan ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelas KKM, melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), tindakan penguatkuasaan boleh diambil kepada pemilik premis makanan yang kotor atau tidak suci.

Katanya, tindakan itu termasuk arahan penutupan premis tidak melebihi tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Individu yang ingkar arahan tersebut boleh didakwa dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

KKM menambah, peruntukan bagi ciri-ciri kebersihan premis makanan, perkakas, amalan pengendalian oleh pengendali makanan dan pengangkutan makanan jelas diperincikan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 di mana terdapat 33 kesalahan boleh dikompaun.

“Mana-mana individu yang gagal membayar kompaun tersebut boleh didakwa di mahkamah dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Katanya, di bawah Peraturan 30, PPKM 2009, pemilik premis makanan adalah bertanggungjawab memastikan setiap pengendali makanan mengikut Latihan Pengendalian Makanan (LPM) di Sekolah Latihan Pengendali Makanan yang diiktiraf KKM.

Jelasnya, LPM dijalankan berdasarkan modul pengajaran standard yang ditetapkan KKM merangkumi lima komponen utama.

“Ia termasuk kebersihan makanan dan pengendali, keselamatan dan kualiti makanan serta faktor-faktor kritilal keracunan makanan.

“Latihan ini memberikan pengetahuan dan latihan asas kepada pengendali makanan dalam bentuk yang paling mudah difahami untuk dipraktikkan semasa di lapangan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas