Berita

1,413 notis, tindakan mahkamah diserah kepada pembayar cukai

- Diterbit 6 Mei 2025 6:45 PM MYT

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperkemaskan langkah memperkasa integriti sistem percukaian negara menerusi pelaksanaan OP Tuntas bermula 5 hingga 8 Mei 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin menegaskan
operasi tersebut melambangkan komitmen tinggi HASiL.

“Ia bagi memastikan keadilan
sistem percukaian, di mana tiada siapa yang terkecuali daripada tanggungjawab
membayar cukai, termasuk warga asing yang terlibat dalam aktiviti ekonomi di
Malaysia.

“HASiL percaya bahawa pelaksanaan operasi seperti ini mampu memperkukuh budaya pematuhan dalam kalangan pembayar cukai termasuklah warga asing serta memastikan tanggungjawab percukaian mereka dilaksanakan secara tuntas.

“Menerusi pendekatan berasaskan data dan kerjasama rentas agensi, HASiL akan
terus mempertingkatkan usaha penguatkuasaan bagi memastikan kelangsungan visi negara untuk masa depan yang lebih sejahtera,” ujar beliau dalam kenyataan.

Terdahulu, operasi pematuhan cukai meliputi kawasan-kawasan strategik di sekitar Lembah Klang.

Seramai 400 pegawai HASiL dan 50 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) turun padang menyasarkan serahan dokumen tindakan mahkamah serta notis makluman cukai tertunggak kepada 1,413 pembayar cukai tempatan yang gagal memenuhi tanggungjawab mereka.

Tambah Abu Tariq, operasi tersebut turut
menyasarkan entiti perniagaan kendalian warga asing berisiko yang berniaga dalam
pelbagai sektor, terutama perdagangan dan perkhidmatan yang ingkar cukai.

“Sebahagian besar daripada entiti ini dikendalikan oleh peniaga warga Bangladesh dan Filipina yang tidak memiliki fail cukai pendapatan serta gagal mengisytiharkan hasil
pendapatan sebagaimana ditetapkan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas