Berita

14 tindakan undang-undang sempena SHMMP Krismas 2020

|
- Diterbit 6 Januari 2021 7:18 AM MYT

EMPAT belas tindakan undang-undang dikenakan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan ketika pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2020 pada 22 hingga 31 Dis.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan hari ini, daripada jumlah itu, tiga kes melibatkan kesalahan menjual barangan melebihi harga maksimum, 10 kes gagal meletakkan tanda harga dan satu kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu.

“Sepanjang SHMMP Krismas 2020 itu, sebanyak 11,890 pemeriksaan dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara merangkumi 458 pemborong dan 11,432 peruncit, serta melibatkan jumlah sitaan bernilai RM737 dan kompaun sebanyak RM1,800,” menurut kenyataan itu.

Sebanyak 19 jenis barangan harga terkawal diwartakan dalam SHMMP Krismas 2020,  yang merupakan tahun ke-11 pelaksanaannya sejak 2009.

KPDNHEP berkata sepanjang tempoh itu juga, ia menerima lima aduan berkaitan SHMMP.

“Berdasarkan pemantauan KPDNHEP dan maklum balas orang ramai, pelaksanaan SHMMP Krismas 2020 berjalan dengan baik dan telah mencapai objektif seperti yang dirancang,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas