PELAN Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) dan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (DPTKL2040) mengenal pasti 139 tapak tanah di ibu negara berpotensi untuk pembangunan semula.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ia melibatkan keluasan keseluruhan 3,036.81 ekar.
Jelas beliau, tapak-tapak itu merupakan kawasan yang berpotensi untuk dijadikan perumahan mampu milik apabila dibangunkan pada masa akan datang.
“Bagi memastikan sasaran ini tercapai, DPTKL2040 memperkenalkan Zon Guna Tanah Kediaman 4 (R4), iaitu zon khusus bagi pembangunan rumah mampu milik termasuk perumahan awam, dengan keluasan 354.47 hektar.
“Selain itu, perumahan mampu milik juga dirancang di zon pembangunan kediaman berintensiti tinggi, zon perdagangan dan zon pembangunan bercampur, dengan tambahan
keluasan 253.39 hektar,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai keluasan tanah milik Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berpotensi untuk dibangunkan.
Zaliha berkata, keluasan yang berpotensi terbabit adalah untuk semua jenis kategori rumah mampu milik, tidak terhad kepada projek Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) iaitu Residensi MADANI dan Rumawip sahaja.
Katanya, perancangan terbabit tidak hanya tertumpu kepada tanah-tanah kerajaan tetapi turut mengambil kira penyertaan sektor swasta, selaras dengan kelulusan dan komitmen yang telah diberikan bagi tempoh sehingga 2040.
“Seterusnya sebagai langkah proaktif dan inisiatif kreatif untuk memastikan perumahan mampu milik dapat diakses oleh golongan yang memerlukan, DPTKL2040 menyenaraikan enam tapak bagi Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS) di atas tanah milik DBKL.
“Program ini bertujuan menyediakan kediaman sewaan yang berpatutan khusus untuk golongan B40 dan sebahagian daripada M40,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan sedar bahawa sasaran menyediakan rumah mampu milik secukupnya di Kuala Lumpur tidak akan direalisasi secara organik kerana sifat industri pembinaan adalah berorientasikan keuntungan.
Sehubungan itu jelasnya, pembangunan rumah mampu milik di Kuala Lumpur akan dilaksanakan secara lebih tersusun dan inklusif, selari dengan keperluan dalam visi Bandar CHASE yang menjadi rujukan pembangunan Wilayah Persekutuan.
Katanya, sebanyak 80,000 unit Residensi MADANI dan Rumawip dirancang untuk dibina dalam tempoh 10 tahun (2018–2028) dan setakat ini, 91 peratus daripada sasaran tersebut berjaya dicapai, dengan 72,864 unit siap dibangunkan melalui 101 projek di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi merupakan hasil campur tangan strategik Kerajaan, yang sentiasa mengadaptasi penyelesaian kreatif bagi memastikan pembangunan rumah mampu milik dapat direalisasikan.” jelasnya. – WILAYAHKU