Berita

13 warga asing jadi ejen ‘Homestay’ haram diserbu Imigresen

- Diterbit 5 Jun 2025 3:23 PM MYT

KEGIATAN haram sekumpulan warga asing yang menjalankan perniagaan ‘homestay’ secara tidak sah di ibu kota terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu dua lokasi panas sekitar Jalan Ipoh dan Jalan Sultan Ismail, semalam.

Dalam Operasi Khas yang dijalankan bermula jam 2.57 petang, sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya telah menahan 13 individu warga asing, berumur antara 24 hingga 40 tahun, yang dipercayai menjadi ejen menguruskan penyewaan homestay secara atas talian kepada pelanggan tempatan dan luar negara.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JIM, Ismail Mokhtar, operasi itu dilakukan selepas dua minggu risikan dan maklumat awam diperoleh pihak berkuasa.

“Mereka menyewa unit kediaman daripada pemilik tempatan sebelum menawarkan perkhidmatan homestay dengan kadar sewaan antara RM80 hingga RM400 semalam, bergantung kepada saiz bilik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail, antara yang ditahan termasuk sembilan lelaki dan satu perempuan warga Bangladesh, seorang lelaki warga Indonesia, seorang perempuan warga India, dan seorang perempuan warga Filipina. Mereka dipercayai telah beroperasi secara aktif selama lebih setahun di lokasi terbabit.

Katanya, hasil semakan mendapati sebahagian daripada mereka memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam sektor pembinaan dan pembersihan, manakala yang lain tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

“Turut dirampas dalam serbuan ialah 48 kad akses bangunan, empat unit pasport Bangladesh, masing-masing satu unit pasport Indonesi dan India, borang maklumat tetamu homestay, sebuah komputer riba, tiga unit telefon bimbit, wang tunai RM74,000 dan USD2,160 dan salinan perjanjian sewa rumah (tenancy agreement), katanya.

Menurut Ismail, enam individu ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala yang lain disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen sah.

“Selain itu, enam warga tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh telah diberikan notis untuk hadir memberi keterangan membantu siasatan, ” kata beliau.

Ismail menegaskan bahawa JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen dan akan terus melaksanakan tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas