Berita

13 Parlimen Wilayah Persekutuan terima 52 ekor lembu

PENYERAHAN mock cheque berjumlah RM314,000 sebagai peruntukan ibadah korban kepada setiap 13 parlimen di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
- Diterbit 7 Julai 2022 12:40 PM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) memberikan sumbangan berjumlah RM314,000 kepada setiap 13 parlimen di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk pelaksanaan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, setiap wakil Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) menerima empat ekor lembu beserta dana tambahan sebanyak RM1,000 bagi membantu pelaksanaanya dari segi tempat, peralatan dan proses penyembelihan.

Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Pengerusi YWP, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memaklumkan, sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini, jumlah keseluruhan lembu yang disumbangkan adalah 52 ekor dan melalui Program Korban Perdana Yayasan Wilayah Persekutuan 2022 ini, segala urusan penyembelihan dan pengagihan daging korban akan dibantu oleh NGO di setiap kawasan.

“NGO akan membantu menyenaraikan golongan asnaf dan berpendapatan rendah (B40) di setiap kawasan yang layak menerima daging korban tersebut.

“Besar harapan saya agar program yang bakal dilaksanakan ini dapat membantu warga kota khususnya golongan fakir miskin yang memerlukan bantuan makanan selain menghayati erti sebenar Hari Raya Aidiladha, mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama penduduk setempat di samping memupuk semangat kerjasama dalam kalangan setiap individu yang menyertai aktiviti pengagihan daging korban nanti,” ucapnya ketika Majlis Penyerahan Sumbangan tersebut di Blok 2, Menara Seri Wilayah, Putrajaya, petang tadi.

Beliau juga turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat islam di Wilayah Persekutuan yang bakal menyambut perayaan ini pada 10 dan 11 Julai ini.

Dalam program itu, beliau telah menyerahkan sumbangan tersebut bersama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Hajah Rosida Jaafar bersama wakil NGO. —WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas