JABATAN Perikanan Labuan mencatatkan lebih daripada 12,000 ekor benih ikan siakap air masin berjaya dilepaskan di Sungai Kinabenua, di sini sekitar tahun 2021 hingga 2023.
Menurut Pengarahnya, Sufian Ahmad, penganjuran program pelepasan benih ikan tersebut bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang awam terhadap kepentingan memulihara ekosistem perikanan darat untuk generasi akan datang.
Katanya, pelaksanaan program secara tahunan itu menyaksikan peningkatan yang baik sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan industri perikanan rekreasi bagi kawasan ekopelancongan di Sungai Kinabenua.
“Untuk kali ini, kita bersama-sama dengan pelbagai pihak agensi kerajaan melepaskan sebanyak 2,500 benih ikan siakap menerusi Program Voluntourism bersama para nelayan.
“Kita berharap program seperti ini akan menambahkan lagi pembiakan ikan siakap di perairan pulau ini dan dapat membantu para nelayan. Selain itu, ia mampu menjamin dan memulihara kelestarian sumber darat di sungai ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut.
Turut hadir Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Labuan, Khairul Amin Abd Rashid.
Dalam pada itu, Sufian menggesa orang awam yang memiliki ikan peliharaan agar lebih bertanggungjawab dan tidak melepaskan ikan tersebut ke perairan umum.
“Tindakan itu akan menyebabkan ikan-ikan di kawasan tersebut menjadi mangsa kepada ikan asing yang bersifat lebih agresif,” katanya. – WILAYAHKU