SERAMAI 116 Wira Muda yang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 berjaya menamatkan latihan asas yang menjadi dasar pembentukan jati diri sebagai seorang bakal pemimpin dan negarawan pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, 116 insan-insan terpilih daripada jutaan rakyat Malaysia tersebut berani menyahut seruan ibu pertiwi untuk menyertai PLKN secara sukarela demi kepentingan nusa dan bangsa.
“Syabas diucapkan kepada Wira Muda kerana berjaya menamatkan latihan asas PLKN 3.0, apa yang dipelajari dan dilatih disini bawalah sebagai bekalan sepanjang hayat dan anggaplah ia sebagai satu amanah untuk dijaga, dipatuhi dan diamalkan sebaiknya.
“Wira Muda-Wira Muda adalah generasi yang hidup pada alaf baru yang
serba luas dan pantas. Sudah pasti akan melalui satu perjalanan kehidupan yang panjang dan mencabar. Oleh itu, ketangkasan tindakan, kecekalan iltizam, tumpuan minda dan kejituan elemen spiritual mesti berada pada tahap yang betul.
“Keterbukaan minda dan pengaruh budaya negatif janganlah sampai
menghakis semangat patriotisme dalam diri wira muda sekalian.
“Saya amat berbangga bahawa PLKN siri 1/2025 ini telah dilaksanakan
dengan jayanya berkat kerjasama semua pihak di Kementerian
Pertahanan dengan penglibatan merentasi agensi dan jabatan lain serta semua yang telah menyumbang bakti bagi menjayakan agenda nasional ini,” ujar beliau pada sesi Majlis Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Program PLKN 3.0 Siri 1/2025 telah memulakan latihan selama 45 hari pada 12 Januari hingga 25 Februari 2025. Sepanjang latihan, pelatih telah diterapkan dengan
pelbagai kemahiran dan pengetahuan melalui modul latihan yang seimbang
menggabungkan 70 peratus (%) latihan asas ketenteraan dan 30% komponen
kenegaraan.
Turut hadir dalam Perbarisan Tamat Latihan Khidmat Negara 3.0 siri 1/2025, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara; Mejar Jeneral Datuk
Ya’cob Samiran dan Komandan Cawangan Latihan Khidmat Negara
(CLKN) 515; Mejar Mohd Solehin Ahmad.
Akan datang, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan melaksanakan
PLKN 3.0 siri 2/2025 pada 11 Mei hingga 24 Jun 2025 dan siri 3/2025 pada
7 September hingga 21 Oktober 2025. Kedua-dua siri tersebut akan
dilaksanakan di Kem Rejimen 515 AW, Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505
AW, Pekan Pahang. – WILAYAHKU