Berita

115 NGO sertai Program Amal Gelandangan

GELANDANGAN sedang beratur untuk menerima bantuan makanan pada Majlis Penutup Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan. gelandangan sedang beratur untuk menerima bantuan makanan pada Majlis Penutup
- Diterbit 25 Mac 2022 3:27 AM MYT

SETIAP hari ada sahaja badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang tampil menghulur sumbangan kepada golongan memerlukan bantuan.

Sememangnya rakyat Malaysia cukup terkenal dengan sikap pemurah hati, malah dalam agama Islam juga digalakkan umatnya untuk bersedekah.

Justeru itu, Persatuan Muafakat Darul Ehsan (PAKAT) dengan luhur hati telah menganjurkan Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan yang bermula pada 2 hingga 22 Mac lalu.

Antara lokasi yang dikunjungi oleh ahli NGO Program Kasih 21 Mesra Gelandangan setiap hari bermula pukul 8 hingga 10 malam adalah di kawasan Masjid Jamek, Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Chow Kit dan Jalan Ipoh.

Ketua Pengarah program tersebut, Datuk Seri Nor Hasnal memberitahu, Program 21 Hari Kasih Mesra Gelandangan anjuran PAKAT itu dijayakan bersama dengan rangkaian Pertubuhan NGO serta agensi kerajaan Malaysia.

“Mula-mula rancang nak buat sehari atau dua hari saja seperti selalu. Entah macam mana nak buat kelainan, itu yang datang idea buat 21 hari. Ramai yang tanya saya, betulkah nak buat program selama 21 hari, siapa nak tanggung nanti?

“Bagi saya, bila sudah ada niat teruskan saja, dana fikir kemudian. Alhamdulillah, dari awal mesyuarat hinggalah program ini dilaksanakan, Allah permudahkan segala urusan. Ada saja pihak yang tampil untuk menghulur bantuan.

“Kita jalin kerjasama dengan NGO yang sedia ada dan sehingga kini sudah ada 101 NGO yang turut serta. Hingga saat akhir masih ada lagi tiga NGO yang menyertai dan kesemuanya adalah 115 NGO yang mengambil bahagian,” jelas Nor Hasnal.

Memandangkan ini adalah kali pertama banyak NGO bergabung, program tersebut turut diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records sebagai Program Amal Gelandangan dengan Penyertaan NGO Terbesar di Malaysia.

Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan dengan tema Tangan Dihulur, Budi Ditabur, Kasih Disemai itu bertujuan untuk membantu golongan gelandangan dan insan terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan menyediakan barangan keperluan seharian dan juga makanan buat mereka.

Setiap hari, 200 pek makanan dan barang keperluan asas seperti kit penjagaan kebersihan diri dan makanan kering diberikan selama 21 hari.

Jumlah sumbangan makanan dan kit kebersihan diri yang diberikan kepada gelandangan sepanjang program berjalan adalah sebanyak 4,500 pek. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas