Berita

100,000 pengunjung dijangka meriahkan Program MADANI Rakyat Zon Tengah

- Diterbit 22 Februari 2024 1:20 PM MYT

PROGRAM MADANI Rakyat Zon Tengah bermula Jumaat ini di Kompleks Sukan Kuala Selangor dijangka menarik kehadiran 100,000 pengunjung, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin.

Pelbagai pengisian telah diatur untuk pengunjung sempena program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) selaku Kementerian Peneraju serta Kerajaan Negeri Selangor itu.

“Program ini bertujuan untuk menyebar luas dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan bagi mendekatkan kerajaan dengan rakyat selaras dengan agenda MADANI yang meletakkan keperluan rakyat itu sebagai keutamaan.

“Pelbagai program ditampilkan termasuklah sebanyak 34 reruai daripada kementerian, agensi serta 163 perkhidmatan ‘touch point’ rakyat disediakan sepanjang tiga hari program ini berlangsung,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan ‘Apa Khabar Malaysia’ terbitan Bernama TV, hari ini.

Nik Kamaruzaman berkata program tersebut juga akan diisi dengan pameran aset bergerak oleh agensi Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Kita juga menyediakan perkhidmatan bergerak untuk merakyatkan perkhidmatan dan memudahkan rakyat kerana kita yang datang kepada mereka. Contohnya Kementerian Dalam Negeri akan membuat permohonan kad pengenalan,” katanya.

Selain itu katanya orang ramai juga tidak harus melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan melalui Jualan Agro Mega MADANI yang menawarkan harga jualan sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Program MADANI Rakyat Zon Tengah merangkumi Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya, merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang telah diadakan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Disember lalu.

Kemuncak bagi acara ini adalah perasmian penutup yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Feb ini.

Program dengan kemasukan percuma selama tiga hari dari 23 hingga 25 Feb itu bermula seawal 9 pagi sehingga 10 malam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas