Berita

10,000 pengunjung meriahkan Karnival GEN-AI

- Diterbit 2 November 2024 9:22 PM MYT

HAMPIR 10,000 pengunjung menghadiri Karnival Generasi Ada Idea (GEN-AI) yang diadakan di tapak parkir Gravitas, Jalan Baru Prai hari ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata antara yang menjadi tumpuan pada karnival tersebut adalah Sesi Temu Anwar.

“Perdana Menteri berinteraksi dengan belia dan pelbagai soalan telah diajukan merangkumi isu-isu semasa termasuk keselamatan dalam talian, buli siber dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Antara yang terlibat adalah mahasiswa dan mahasiswi dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh.

“Turut diadakan, sesi perkongsian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), karnival kerjaya, sembang santai bersama artis dan pempengaruh serta konsert,” katanya.

Tambahnya karnival yang julung kali diadakan ini adalah sebagai platform untuk mendekati dan memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan belia menerusi pelbagai aktiviti interaksi.

“Inisiatif ini bagi meningkatkan kesedaran dan kepekaan belia mengenai isu-isu semasa. Karnival ini juga menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berorientasikan kesejahteraan dan keceriaan,” katanya.

Terdahulu, Karnival GEN-AI yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan bertempat di tapak parkir Gravitas, Jalan Baru Prai bermula seawal pukul 8 pagi sehingga 10.30 malam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Timbalan Menteri Kewangan,Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas