Oleh DIANA AMIR
KIRA-KIRA 1,000 penduduk Perumahan Awam (PA) Sri Johor, Bandar Tun Razak hadir memeriahkan Sambutan Perayaan Deepavali yang diadakan pada Ahad lalu.
Sambutan secara besar-besaran yang diadakan julung kali itu, diisi dengan pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah, nyanyian serta persembahan tarian tradisional kaum India dan sebagainya.
Menurut Pegawai Khas kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Jonathan Vela, sumbangan turut disampaikan kepada keluarga yang terpilih bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Seramai 400 keluarga terpilih menerima bantuan berbentuk wang tunai manakala 100 lagi menerima sumbangan Bakul Rahmah di mana mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40).
“Selain itu, 100 buah keluarga lagi menerima bantuan yang disampaikan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri dalam satu majlis berlainan,” katanya kepada Wilayahku sewaktu ditemui sejurus Program Deepavali Kondattam yang diadakan di padang bola sepak, Bandar Tun Razak, Cheras.
Jonathan berharap bantuan yang disampaikan tersebut sedikit sebanyak dapat memberi kelainan seterusnya kegembiraan dalam menyambut perayaan pada kali ini.
“Saya harap semua yang hadir pada program ini merasa gembira kerana dapat berkumpul beramai-ramai bagi menyambut Deepavali. Saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua dan semoga ia dapat diraikan bersama keluarga dengan lebih meriah,” ujarnya.
Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Salah seorang penerima, Velamah Samyappan, 67, berkata dia sangat gembira dan bersyukur dengan bantuan yang disampaikan.
“Bantuan ini membantu kami sekeluarga untuk melakukan persiapan dan dengannya juga menjadikan perayaan kali ini lebih bermakna,” jelasnya yang berterima kasih kepada pihak yang telah menyumbang.
Selain itu, salah seorang pengunjung, Saravanakumar Kanagratnam, 44, berkata ia merupakan satu inisiatif yang baik dalam usaha menambah kegembiraan dalam perayaan Deepavali kali ini.
“Apa yang saya lihat semua orang gembira apabila wujud program seperti ini di mana kita dapat menyambut Deepavali beramai-ramai kerana di Malaysia kita meraikan semua jenis perayaan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” ujarnya yang berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi dengan beberapa penambahbaikan. – WILAYAHKU