LEBIH 100 peserta menyertai Seminar Pemasaran Produk Usahawan serta Penjanaan Pendapatan Pasif Melalui Platform TikTok dan Latihan Pencipta Kandungan Video Menggunakan Aplikasi CapCut yang diadakan baru-baru ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata seminar tersebut dikendalikan oleh dua pensyarah kanan yang pakar dalam seni digital dan fotografi.
“Seminar ini memfokuskan pelbagai teknik dan strategi pemasaran digital. Antara topik menarik yang dikongsikan adalah cara menghasilkan video yang mampu menarik perhatian di TikTok serta bagaimana menggunakan program Affiliate untuk menjana pendapatan pasif,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Tambahnya antara kandungan utama program ini adalah teknik penghasilan kandungan video yang lebih kreatif dan interaktif.
“Selain itu, penerapan strategi mendalam untuk menjana pendapatan melalui TikTok, pembelajaran asas suntingan video yang pantas dan efektif menggunakan CapCut dan akhir sekali adalah penggunaan TikTok sebagai medium pemasaran yang berkesan untuk produk,” katanya.
Jelasnya lagi yang lebih menginspirasi adalah dengan kehadiran seorang peserta luar biasa dalam penganjuran seminar.
“Kita mempunyai peserta wanita yang berusia 84 tahun dan lebih mesra dipanggil sebagai Bonda. Bonda merupakan seorang penjaja di Pasar Sementara Cheras di bawah Pusat Penjaja DBKL telah menjadi inspirasi buat peserta yang lain.
“Kehadirannya menunjukkan bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus belajar dan menguasai kemahiran teknologi terkini. Semangat beliau untuk terus maju menjadi contoh tauldan buat kita semua,” katanya.
Terdahulu seminar yang merupakan anjuran DBKL dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah diadakan pada 12 sehingga 13 Oktober 2024 bertempat di Auditorium DBKL. Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada ke semua peserta telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL, Badrul Hisham Baharuddin. – WILAYAHKU