KONSERT Megahitz 3 Dekad Vol 1, bakal menyaksikan lapan penyanyi lagenda tanah air berkongsi pentas mendedangkan lagu hit mereka yang terkenal di era 80-an dan 90-an.
Konsert yang bakal berlangsung tanggal 25 Januari depan di Zepp KL itu membariskan Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Datuk Hattan, Man Bai, Ramlah Ram, Zur Eda, Noorshila Amin, Andy Flop Poppy serta seorang penyanyi generasi baru Amir Masdi.
Penganjur konsert yang juga Pengasas dan Pengarah Pentas 365 Events, Afiezan Shah Mohd Zahari berkata, gabungan ke semua artis dapat mengimbau kembali zaman kegemilangan industri muzik Malaysia.
“Selama ini generasi muda mungkin hanya tahu menyanyikan lagu-lagu mereka tetapi tidak kenal siapa penyanyinya.
“Jadi kita bawakan konsert ini supaya generasi muda yang meminati lagu-lagu nostalgia dapat mengenali pemilik asal lagu.
“Kita juga tampilkan Amir Masdi sebagai daya tarikan untuk menarik peminat generasi muda datang menyokong konsert ini,” katanya pada sidang media konsert berkenaan yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.
Mengikut perancangan asal, Konsert Megahitz 3 Dekad Vol 1 sepatutnya diadakan pada bulan ini tetapi terpaksa ditunda kepada 25 Januari depan atas sebab-sebab tertentu.
Setakat ini juga kata Afiezan, jualan tiket memberangsangkan tetapi pihaknya berharap lebih ramai akan memberikan sokongan kerana ia julung-julung kalinya diadakan.
“Ke semua penyanyi akan menyanyikan antara dua ke tiga lagu hits mereka dan keseluruhannya sebanyak 22 lagu akan dipersembahkan malam itu.
“Proses pemilihan lagu agak rumit kerana kami hanya memilih yang terbaik.
“Ke semua lagu yang dinyanyikan pernah dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu dan pernah memenangi acara berprestij kerana kami ingin penonton dapat menyanyi bersama-sama malam itu.
“Lebih istimewa lagi, pada malam itu juga peminat akan dapat menikmati gorengan gitar daripada Kidd Search yang pernah bersama Gersang satu ketika dulu,” katanya lagi.
Bagi melengkapkan lagi momen pada malam itu, penganjur mengajak penonton untuk sama-sama mengenakan pakaian bertemakan retro sekaligus mengabadikan memori
bersama.
Konsert itu juga menampilkan pengarah muzik Shah Slam. – WILAYAHKU