Berita

1.2 Juta peluang pekerjaan menanti di KL menjelang 2040

MAIMUNAH.
- Diterbit 24 Jun 2025 4:00 PM MYT

SEBANYAK 1.2 juta peluang pekerjaan bakal diwujudkan di ibu negara menjelang 2040 menerusi Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040), sebagai sebahagian daripada strategi komprehensif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memperkukuh daya saing dan kesejahteraan bandar raya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif, berkata sasaran itu disokong melalui pewujudan lebih 72 juta meter persegi luas lantai perdagangan yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi, perniagaan dan pelaburan di Kuala Lumpur.

“Pelan ini bukan hanya sebuah dokumen perancangan, tetapi satu pelan tindakan yang menyeluruh dan berpaksikan rakyat, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PTKL 2040, hari ini.

Majlis Pelancaran PTKL 2040 disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Menteri Komunikasi, Datuk Mohd Fahmi Fadzil.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Tambah beliau, PTKL 2040 turut menetapkan 305,000 unit rumah mampu milik sebagai sasaran utama menerusi pelaksanaan Zon Kediaman 4 (R4), dalam usaha menyokong pembangunan Residensi MADANI yang inklusif dan seimbang dari aspek sosial dan ekonomi.

Dari segi mobiliti bandar, PTKL 2040 meletakkan sasaran 70 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang 2040, disokong oleh Pelan Induk Trafik, laluan pejalan kaki dan rangkaian basikal, termasuk inisiatif hijau seperti mikromobiliti dan laluan berbumbung hijau.

“Sebanyak 139 kawasan dikenal pasti untuk pembangunan semula, khususnya melibatkan perumahan awam lama yang memerlukan penaiktarafan. Prinsip pembangunan semula ini adalah inklusif, berdaya tahan, dan berdasarkan insentif yang adil,” katanya.

Dalam aspek perancangan guna tanah, pelan ini memperkenalkan kawalan nisbah plot yang lebih telus serta galakan kepada projek pembangunan semula dan cantuman lot terutama di kawasan Zon Perancangan Transit (TPZ) dan Zon Pengaruh Transit (TIZ).

PTKL 2040 turut memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar, dengan menetapkan minimum 20 meter persegi tanah lapang bagi setiap warga kota, bersamaan lebih 4,700 hektar kawasan hijau, termasuk Rangkaian Penghubung Taman sepanjang 254 kilometer.

“Kita mahu memupuk gaya hidup sihat dan komuniti yang aktif. Ini seiring dengan konsep bandar CHASE, Clean, Healthy, Advanced, Safe and Ecological, di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP),” ujar beliau.

Sebagai langkah masa depan, DBKL juga sedang membangunkan sistem Urban Digital Twin Kuala Lumpur yang akan membolehkan data pembangunan bandar dikemas kini secara masa nyata.

“Dengan teknologi ini, segala dasar dan tindakan DBKL akan berdasarkan data dan bukti, bukan persepsi. Ini adalah manifestasi pembaharuan tadbir urus yang lebih telus, berakauntabiliti dan berintegriti,” tegas Maimunah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas