Utama

Politik Mukhriz ketinggalan 20 tahun ke belakang

MENTERI Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa bertanya khabar peniaga ketika turun padang menyampaikan lesen penjaja di Batu Muda pagi tadi
- Diterbit 16 Ogos 2020 3:21 AM MYT

PRESIDEN (penaja) Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketinggalan 20 tahun kebelakang dalam memahami falsafah politik baharu yang diamalkan oleh gabungan politik yang dibentuk oleh UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, MN kini telah lama ‘berhijrah’ jauh kehadapan dalam politik Malaysia dengan menggunakan konsep ta’awun dan ta’ayush.

“Kita dah tidak pakai sistem politik lama, sekarang kita dah ‘migrate’ jauh ke depan menggunakan politik yang diistilahkan politik taawun dan ta’yush.

“Konsep Ta’awun iaitu daripada bergaduh kepada bekerjasama dan Ta’ayush iaitu hormati prinsip co-existence (kewujudan bersama),” katanya dalam sidang akhbar di Batu Muda hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai kenyataan Mukhriz yang mempersoalkan samada MN akan melantik Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi MN.

Annuar berkata, melalui konsep yang diamalkan itu, Bersatu, UMNO dan PAS, meraikan kewujudan bersama dan tidak timbul soal perebutan berkenaan dengan jawatan pengerusi.

“Untuk PEJUANG boleh lah pakai, bapa pengerusi lantik anak jadi presiden. Itu model lama, model ayah lantik anak, itu model lama.

“Kena tiru model MN, bertoleransi, tiada masalah. Tujuh kali pilihanraya kecil, calon semua dari BN, tiada lagi calon daripada PAS, tetapi PAS tetap bekerja dan itulah model baru,” katanya.

Ujar Annuar, walaupun BN mempunyai kerusi paling banyak, namun parti itu tetap menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan ia selari dengan sistem politik model baharu.

“Kalau ikut model yang biasa, kena UMNO (jadi perdana menteri). Sampai masa besok mungkin Bersatu beri pada UMNO semula jadi Perdana Menteri.

“Jadi untuk anakanda saya Mukhriz, belajarlah politik cara baharu, model baharu,” katanya. -OLEH AZLAN ZAMBRY –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas