Berita

Pelanggan mengamuk tunggu 2 jam, hampir pengsan… Le Meridien Putrajaya mohon maaf

||CEF Naem memohon maaf kepada peminat dan berharap mereka diberikan peluang untuk merasai air tangannya.|INILAH suasana kekecohan yang berlaku apabila ramai yang terpaksa menunggu kerana tidak dibenarkan masuk ke tempat bufet Ramadan.|
- Diterbit 11 April 2022 6:42 AM MYT

KECOH baru-baru ini apabila ramai pelanggan Hotel Le Meridien Putrajaya tidak dapat berbuka puasa walaupun sudah membayar awal bufet Ramadan.

Situasi menjadi lebih ‘parah’ apabila ramai yang terpaksa menunggu selama hampir dua jam kerana tidak dapat masuk ke dewan bufet yang sepatutnya mereka berbuka.

INILAH suasana kekecohan yang berlaku apabila ramai yang terpaksa menunggu kerana tidak dibenarkan masuk ke tempat bufet Ramadan.

Menurut seorang pelanggan dikenali sebagai Syukri yang juga mangsa keadaan, mengakui keadaan tersebut tidak sepatutnya berlaku kepada hotel bertaraf lima bintang.

“Saya sudah membayar bufet tersebut dengan harga RM 148 lebih kurang seminggu sebelum Ramadan.

“Kecewanya rasa apabila saya dan ramai pelanggan lain tak dapat berbuka puasa di situ. Bayangkan kami menunggu di lobi hampir dua jam. Ada yang mengamuk dan hampir pengsan sebab lapar.

“Namun jawapan petugas di situ hanyalah tunggu dan tunggu. Bayangkan di situ ada orang tua, kanak-kanak dan bayi yang turut menunggu,” katanya.

Menurut Syukri lagi, mereka kemudiannya dibenarkan masuk ke tempat bufet pada pukul lapan malam, namun makanan habis.

“Kami dibenarkan masuk setelah lama menunggu, namun makan sudah habis.

“Disebabkan itu, pengurus di hotel itu berjanji akan refund bayaran yang telah dibuat,” tambahnya lagi.

CEF Naem memohon maaf kepada peminat dan berharap mereka diberikan peluang untuk merasai air tangannya.

Kekecohan yang berlaku juga menyebabkan ramai netizen direct message (DM) kepada selebriti Cef Naem yang menjadi wajah bufet Ramadan Hotel Le Meridien Putrajaya yang bertemakan Destinasi Rasa.
Cef Naem atau nama sebenarnya Muhammad Naim Ramli yang menerima aduan peminat memohon maaf atas apa yang berlaku.

“Saya mewakili Hotel Le Meridien memohon maaf atas apa yang berlaku. Saya tahu ramai peminat datang nak rasa air tangan saya. Sebelum ini pun ramai yang DM mahu datang.

“Apabila insiden itu berlaku, saya pun tak boleh nak komen lebih-lebih sebab saya hanya cef yang bertanggungjawab memastikan kualiti makanan bufet.

“Kalau pihak media mahu bertanyakan apa masalah yang berlaku pada hari tersebut, saya rasa lebih elok ditanyakan kepada pihak pengurusan. Saya yakin mereka ada alasan munasabah.

“Apa-apa pun saya memohon maaf atas apa yang berlaku. Kepada peminat-peminat, isnya Allah ada rezeki nanti boleh rasa masakan saya,” katanya kepada Wilayahku.

Dari sudut yang positif, di sebalik kekecohan yang berlaku terbuktilah air tangan Cef Naem memang ditunggu-tunggu ramai.

Semoga apa yang berlaku tidak berulang lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas