MRT Corp dalam proses lantik PMC, kontraktor sivil bagi projek MRT3
Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) dalam proses melantik perunding pengurusan projek (PMC) serta tiga kontraktor utama sivil bagi Laluan Lingkaran MRT3.
Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) kini dalam proses melantik perunding pengurusan projek (PMC) serta tiga kontraktor utama sivil (CMC) bagi melaksanakan projek Laluan Lingkaran MRT3.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan pembinaan projek Laluan Lingkaran MRT3 akan melibatkan lima pakej kerja, iaitu satu pakej perundingan pengurusan projek, tiga pakej kerja sivil dan satu pakej kerja sistem.
Tender terbuka
MRT Corp melaksanakan proses tender terbuka bagi pakej-pakej utama tersebut, dengan tujuan menarik bidaan yang paling kompetitif.
Syarikat boleh membentuk usaha sama atau konsortium tidak lebih daripada tiga ahli untuk mengambil bahagian, dengan tender terbuka kepada syarikat Malaysia manakala penyertaan asing minoriti dibenarkan melalui usaha sama yang syarikat Malaysia memegang sekurang-kurangnya 60 peratus ekuiti.
Laluan Lingkaran sepanjang 51km
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata PMC akan membantu menguruskan projek serta bertanggungjawab terhadap pelaksanaan projek tepat pada masa dalam bajet yang ditetapkan.
Laluan Lingkaran MRT3 sepanjang 51 kilometer merupakan bahagian akhir bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur, dan akan disambungkan kepada laluan MRT, LRT, KTM dan Monorel menerusi 10 stesen pertukaran.