WilayahKu Kuala Lumpur · Selangor · Nasional
Hiburan

KL Fashion Week 2026 kembali 3–9 Ogos, 50 pereka jenama tempatan bakal beraksi

Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 kembali tahun ini dengan lebih besar dan meriah, berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos di Esplanade, KLCC Park. Dengan tema 'Reimagine', edisi kali ini menampilkan 50 pereka dan jenama tempatan yang bakal mempamerkan koleksi fesyen terbaru mereka di tujuh lokasi berbeza di sekitar ibu kota.

Pengasas KLFW, Andrew Tan, berkata tahun ini pihaknya mahu membawa fesyen Malaysia ke pentas global dengan menjemput lebih 20 pembeli antarabangsa dari Eropah, Asia dan Timur Tengah. "Bukan sekadar peragaan, kita nak bisnes. Kita nak jenama Malaysia dapat kontrak eksport. Itu matlamat utama kita tahun ini," katanya pada sidang media pelancaran minggu lepas.

Antara yang bakal membuat penampilan sulung di KLFW tahun ini adalah tiga pereka dari Sabah dan Sarawak yang membawa sentuhan tenun dan songket etnik ke dalam rekaan kontemporari. Langkah ini dilihat sebagai usaha memartabatkan warisan tekstil tempatan di pentas fesyen arus perdana.

Program sokongan pereka muda

KLFW tahun ini turut memperkenalkan program "Emerging Talents by KLFW" khas untuk pereka bawah 30 tahun. Seramai 12 pereka muda terpilih daripada 200 permohonan akan mendapat ruang pameran percuma, bimbingan daripada pereka senior dan akses kepada rangkaian industri. Inisiatif ini disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi dana RM2.5 juta MyCreative.

Seorang pereka muda dari Shah Alam yang terpilih, berkata peluang ini ibarat mimpi menjadi kenyataan. "Selama tiga tahun saya jual baju secara online saja. Tak sangka dapat tunjuk koleksi kat KLFW. Kalau ada rezeki, mungkin dapat juga kontrak dengan pembeli dari luar negara," katanya dengan nada teruja.

Selain peragaan fesyen, pengunjung juga boleh menghadiri sesi dialog bersama pereka, bengkal kraftangan dan pop-up store yang menjual koleksi eksklusif secara langsung. Tiket mula dijual secara online dengan harga serendah RM50 untuk sesi umum. Manakala KL Men's Fashion Week akan berlangsung lebih awal iaitu 23-26 Julai di M Resort & Hotel Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam satu kenyataan menyambut baik penganjuran KLFW yang dianggap sebagai acara kebanggaan ibu kota. "KLFW bukan saja glamor, ia juga ekonomi — pertumbuhan fesyen Malaysia bernilai RM12 bilion setahun dan menyediakan ribuan pekerjaan. Ini acara yang kita perlu sokong."

— ❖ —
Mengenai laporan ini: Sumber: KLFW, Instagram rasmi, MyCreative. Laporan ini disesuaikan semula oleh Sidang Pengarang WilayahKu.