WilayahKu Wilayah Persekutuan · Kuala Lumpur · Putrajaya · Labuan
Kesihatan

KKM lancar Pelan Strategik Kejururawatan 2026–2036 perkasa peranan jururawat

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan Pelan Strategik Kejururawatan 2026–2036 yang menyasarkan pemerkasaan peranan jururawat sebagai tulang belakang sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negara. Pelan ini dibangunkan sebagai tindak balas kepada tekanan sistem kesihatan yang semakin meningkat, termasuk kekurangan tenaga kerja dan beban kerja bertambah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata pelan 10 tahun itu merangkumi enam teras strategik termasuk penambahbaikan latihan, laluan kerjaya, kebajikan, dan penggunaan teknologi dalam penjagaan kejururawatan. "Jururawat adalah nadi sistem kesihatan kita. Tanpa mereka, hospital tidak akan berfungsi. Sudah tiba masanya kita beri pengiktirafan yang setimpal," katanya pada majlis pelancaran di Putrajaya.

Antara inisiatif utama dalam pelan ini adalah penubuhan Akademi Kejururawatan Kebangsaan yang akan menyelaraskan kurikulum dan pensijilan di seluruh negara, serta laluan khas untuk jururawat berpengalaman naik pangkat ke jawatan klinikal pakar tanpa perlu meninggalkan perkhidmatan di wad.

Isu kekurangan jururawat kritikal

Malaysia ketika ini dilaporkan kekurangan kira-kira 15,000 jururawat di sektor awam, dengan nisbah jururawat kepada penduduk sekitar 1:450 — jauh lebih rendah daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 1:200. Keadaan ini lebih kritikal di hospital-hospital di luar Lembah Klang dan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Presiden Persatuan Jururawat Malaysia ketika dihubungi menyambut baik pelan ini tetapi mengingatkan bahawa kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada komitmen kewangan kerajaan. "Pelan macam ni pernah ada sebelum ini, tapi kalau tiada peruntukan dan pemantauan tegas, ia jadi dokumen saja. Kami nak lihat tindakan, bukan kata-kata," katanya.

Pelan ini juga menekankan penggunaan teknologi seperti sistem rekod kesihatan elektronik (EHR) dan telekesihatan untuk mengurangkan beban dokumentasi manual, yang selama ini mengambil masa sehingga 30 peratus daripada waktu kerja jururawat. Dengan automasi, jururawat boleh memberi lebih tumpuan kepada penjagaan pesakit secara langsung.

KKM turun akan menambah program pengambilan jururawat kontrak ke jawatan tetap, selaras dengan komitmen kerajaan untuk memansuhkan kontrak dalam perkhidmatan kesihatan awam secara berperingkat. Tahun ini sahaja, 4,500 pegawai perubatan kontrak telah ditawarkan jawatan tetap, dengan jururawat kontrak dijangka menyusul dalam fasa seterusnya.

— ❖ —
Mengenai laporan ini: Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (moh.gov.my). Laporan ini disesuaikan semula oleh Sidang Pengarang WilayahKu.