KBS saran penggiat e-sukan sertai kaji selidik ekosistem tempatan
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyarankan rakyat Malaysia yang aktif atau pernah terlibat dalam e-sukan supaya menyertai kaji selidik dalam talian bagi mengumpul maklumat dan pandangan tentang ekosistem sukan itu di negara ini.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyarankan rakyat Malaysia yang aktif atau pernah terlibat dalam e-sukan supaya menyertai kaji selidik secara dalam talian yang bertujuan mengumpul maklumat serta pandangan tentang ekosistem sukan itu di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata hasil kaji selidik berkenaan akan dimanfaatkan dan diguna pakai kementerian itu bagi pembangunan dasar serta strategi berkaitan sukan tersebut pada masa akan datang.
Keputusan didorong data
Hannah berkata kajian menyeluruh tentang ekosistem e-sukan tempatan penting untuk mendapatkan pemahaman yang mendalam dan maklumat kritikal yang sebelum ini tidak diketahui, selain memastikan semua keputusan yang dibuat didorong oleh data.
Menurutnya, memandangkan pemain e-sukan Malaysia terus mencapai kejayaan di peringkat serantau dan antarabangsa, adalah penting untuk melihat secara ke dalam bagi mengukur potensi pertumbuhan pasaran Malaysia serta kesannya pada masa hadapan terhadap ekonomi, pembangunan belia dan sukan.
Inisiatif ESI dan IYRES
Kaji selidik itu dilaksanakan menerusi inisiatif Esports Integrated (ESI) dan Institut Penyelidikan Belia Malaysia (IYRES), dan turut menyasarkan pengumpulan maklumat demografi, psikografi serta kesan kewangan terhadap peminat sukan tersebut.
Kaji selidik berkenaan kemudian akan disusuli dengan pembentukan Kumpulan Kerja Teknikal yang terdiri daripada pakar e-sukan tempatan dan pihak berkepentingan bagi tujuan perbincangan kumpulan fokus, selain memahami ekosistem pada tahap yang lebih mendalam dan teknikal.
Terbuka kepada orang ramai
Soal selidik dalam talian itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berminat dengan e-sukan atau pernah bermain mana-mana judul permainan dalam sukan tersebut.