Fokus

BINA EMPAYAR SENDIRI: Akie Burger: 11 tahun yang mencabar

||||
- Diterbit 30 November 2020 10:49 AM MYT

DALAM zaman ekonomi yang serba mencabar ini, ramai yang memilih mengusahakan perniagaan berasaskan produk makanan. Dari sekecil-kecil bisnes sehinggalah tidak mustahil berkembang menjadi peluang yang besar.

Jika dilihat, pelbagai faktor yang mendorong mereka memilih bidang tersebut disebabkan keperluan, permintaan, selain gaya hidup masyarakat kini yang rata-ratanya tidak mempunyai masa untuk berlama di dapur.

Pun begitu, bukanlah sesuatu yang mudah untuk memulakan sesuatu yang baharu. Bak kata pepatah Melayu, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian.

Ternyata peribahasa tersebut menjadi pendorong kepada dua usahawan yang dikenali sebagai Mohd Izzuddin Mohamed, 44 dan Syefry Moniz, 46, untuk membina empayar mereka sendiri dalam perniagaan burger dan aiskrim.

Pernah diperlekehkan oleh orang sekeliling, namun kekentalan semangat keduanya harus dijadikan inspirasi kepada mereka di luar sana agar tidak mudah melatah dan patah semangat dalam mengejar kejayaan.

Sempat menemubual kedua-duanya baru-baru ini, Wilayahku mengambil peluang menyelami suka duka mereka dalam menempuhi ranjau untuk berada pada tahap seperti hari ini.

Tidak pernah terlintas di hati pengasas Akie Burger Malaysia, Mohd Izzuddin Mohamed untuk mengusahakan perniagaan berasaskan burger yang kini popular dalam kalangan peminatnya yang tersendiri.

Bercerita lanjut tentang perniagaannya itu, menurut lelaki berusia 44 tahun ini, sebelum memilih produk burger, pelbagai perniagaan telah
dijalankannya namun sambutan yang diterima tidaklah sehebat ini.

“Semuanya bermula setelah empat bulan bapa saya meninggal dunia. Pemergiannya begitu meninggalkan kesan di hati ini kerana keakraban kami berdua. Nak dijadikan cerita semasa hayatnya, kami suka menghabiskan masa bersantai sambil menikmati burger.

“Saya seringkali sebak apabila terlihat lokasi burger kegemarannya dan dari situlah saya terfikir kenapa tidak saya abadikan kesukaannya menjadi suatu kenangan yang indah,” ujar Mohd Izzuddin.

Memilih nama Akie sebagai simbol produk, menurutnya nama tersebut adalah panggilan mesra cucu kepada arwah bapa beliau. Pun begitu, ternyata bukan mudah untuk memulakan bisnes tersebut memandangkan kekangan situasi kewangan terutamanya untuk pembinaan kilang yang mencecah kos jutaan ringgit.

“Itu masalah yang sering dialami Melayu Bumiputera. Lelah turun naik tangga untuk mendapatkan dana namun tidak dilayan. Malah pada peringkat awal, permintaan saya ditolak dan ditendang sesuka hati.

“Bayangkan ketika mula bertapak sekitar 2009 di Kuantan, saya ubah suai ruang di halaman rumah sebagai kilang penyediaan burger. Mujurlah tiada seorang pun jiran yang menyedarinya,” katanya.

Ujarnya lagi, perniagaan yang ditonjolkan olehnya berasaskan konsep francais itu yang mana pada awalnya dia hanya membuka enam buah outlet yang diuruskan bersama bantuan kakitangan sendiri.

“Sekitar 2016, saya mula mendapat perhatian Perbadanan Nasional Berhad (PNS). Mereka mengesyorkan saya bertapak di bawah program Business In Transformation (BIT) dan seterusnya membimbing saya hingga mampu menjadi francais.

“Banyak dana peringkat awal dikeluarkan oleh pihak mereka yang mana PNS turut menasihati saya untuk menghasilkan daging sendiri di bawah jenama Akie Burger Malaysia,” ujarnya yang kini memiliki sebuah kilang di kawasan perindustrian di Indera Mahkota, Kuantan dan 54 outlet di bawah jenama tersebut di sekitar Kuantan, Terengganu dan Kuala Lumpur.

DARI PANTAI TIMUR KE IBU KOTA

Memandang jauh ke hadapan, kini Akie Burger Malaysia bakal melebarkan sayap ke Wilayah Persekutuan hasil daripada bantuan dan keprihatinan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

“Alhamdulillah, satu permulaan yang baharu untuk memeriahkan lagi industri makanan segera dan saya menjangka akan membuka 200
francais di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya menjelang tahun hadapan.

“Kita sedang menambah baik dari segi rekaan terkini poster di setiap kios yang akan dibina di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum dilancarkan kurang dua minggu lagi,” ujarnya yang turut berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan.

Selain terkenal dengan daging seberat 80 gram, Akie Burger Malaysia bakal mengeluarkan sosej, sos cili dan mayonis di bawah jenamanya awal tahun hadapan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas