Selebriti

Zebra Studio, Tremendous Entertainment mahu baik pulih industri perfileman

Saraleana Nattaya Azmi|PENGERUSI Tremendous Entertainment
- Diterbit 2 September 2021 6:33 AM MYT

SATU berita baik buat industri perfileman tempatan apabila terjalinnya kerjasama antara Syarikat Zebra Studio Sdn. Bhd dan Tremendous Entertainment.

Dua syarikat ini telah menandatangani perjanjian usaha sama multi-filem dengan komitmen untuk menghasilkan bersama 12 filem dalam tempoh 24 bulan akan datang.

Menurut Pengerusi Tremendous Entertainment, Datuk Jared Lim, usaha ini diharapkan dapat membaik-pulihkan industri perfileman tempatan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Tremendous Entertainment adalah syarikat terkemuka dalam penghasilan konten hiburan di kedua-dua ruang Pentas dan Media. Dengan kekurangan kandungan hiburan secara langsung dalam keadaan pandemik, kami mengambil kesempatan ini untuk fokus kepada industri media kami dalam 18 bulan ini.

“Penghasilan filem-filem dengan kerjasama bersama Zebra Studio ini adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan kami untuk memanfaatkan bakat dan infrastruktur yang lebih mantap di Malaysia bagi menghasilkan filem bertaraf antarabangsa,” jelasnya.

PENGERUSI Tremendous Entertainment, Datuk Jared Lim

Beliau berkata, perjanjian yang dibuat itu menuju kepada visi mereka untuk memperluaskan Tremendous ke arah pendigitalan ketika beralih dari pameran acara ‘stage play’ untuk menghasilkan kandungan media digital dan sekarang ke filem.

“Kami teruja dapat bekerjasama dengan CL Hor dan Sara Nattaya Azmi dari Zebra untuk menghasilkan dan membuat filem-filem ini dengan niat untuk mempamerkannya kepada dunia, kerana kami percaya bahawa kandungan yang dihasilkan oleh Malaysia berpotensi tinggi untuk berjaya di peringkat antarabangsa,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, perjanjian yang dibuat itu menuju kepada visi mereka untuk memperluaskan Tremendous ke arah pendigitalan ketika beralih dari pameran acara ‘stage play’ untuk menghasilkan kandungan media digital dan sekarang ke filem.

Sementara itu, Pengasas yang juga Pengarah dan Penerbit Eksekutif Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi berkata, Tremendous Entertainment adalah salah satu syarikat hiburan terkemuka di Asia Pasifik yang telah menghasilkan dan mempersembahkan beberapa tajuk hiburan paling terkenal di dunia.

“Dengan usaha sama ini, kami berharap penghasilan 12 filem ini dapat membantu membina semula dan memudahkan pemulihan industri perfileman tempatan yang membolehkan kami bersama-sama mencipta lebih banyak kandungan global.

“Ia bertujuan untuk mendapatkan sorotan antarabangsa mengenai filem dialek khas seni dan budaya Malaysia serta memberi peluang kepada seniman tempatan kita untuk berjaya di peringkat global,” jelasnya.

PENGARAH dan Penerbit Eksekutif Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi

Ujarnya, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio akan menghasilkan lima filem dialek Melayu di sekitar Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor serta empat filem tempatan dialek Cina yang difokuskan di Perak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Di samping itu, beliau menyatakan akan ada tiga filem tempatan berbahasa Inggeris yang akan dihasilkan bersama dan difilemkan di negara jiran termasuk Korea, China, Indonesia, India dan banyak lagi.

“Filem pertama dari 12 filem telah selesai dan penggambaran untuk filem kedua akan bermula pada bulan September ini dengan penerbitannya bermula pada bulan Oktober 2021,” ujarnya.

Diketuai oleh Pengarah pemenang anugerah antarabangsa CL Hor, Zebra Studio mempunyai ekosistem pengeluaran yang dilengkapi dengan teknologi terkini mulai dari kemudahan audio hingga pos dan VFX.

Bersinergi dengan pasukan kreatif yang mahir dari Zebra Pixel yang diketuai oleh Penyelia VFX Hollywood Jae Cheol Hong, Zebra Studio dan Pixel dapat memperkaya kandungan Malaysia melalui penghasilan dan konseptualisasi kandungan inovatif di platform media tradisional dan baru. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas