Berita

YWP terus bantu pendidikan pelajar kategori B40

WAHIDAH (kanan) ketika memberi penerangan berkaitan biasiswa kepada pelajar.
- Diterbit 6 November 2022 4:00 AM MYT

SENTIASA menyokong pembangunan pendidikan dalam kalangan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) di Wilayah Persekutuan, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menawarkan biasiswa kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) B40 sejak tahun 2015.

Menurut Eksekutif Bahagian Pembangunan Pendidikan YWP, Wahidah Wahid, 41, YWP sentiasa komited menyahut seruan kerajaan membantu pelajar yang memerlukan.

“Biasiswa IPT telah diperkenalkan sejak tahun 2015. Setakat ini kami telah memberi biasiswa kepada lebih 200 pelajar IPT yang tergolong dalam B40. Dari segi kelayakan, syarat pertama sudah tentu pelajar-pelajar ini datang daripada keluarga B40.

“Antara syarat lain adalah menetap di Wilayah Persekutuan, mengundi di Wilayah Persekutuan, pendapatan berkapita bawah RM1,000 serta mencapai CGPA 3.30 ke atas atau 5A untuk calon SPM.

“Biasiswa ini akan diberikan dari awal sehingga tamat pengajian. Ia meliputi yuran pengajian, penginapan, duit poket, makanan dan banyak lagi,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Walaupun ekonomi negara kurang memberangsangkan, YWP tetap komited membantu anak-anak Wilayah Persekutuan dalam pendidikan khususnya pemberian biasiswa.

“Kami tetap meneruskan biasiswa ini kerana apa yang penting adalah masa depan mereka. Kebiasaannya selepas tamat pengajian, penerima biasiswa ini akan bekerja di Yayasan Wilayah Persekutuan mengikut tempoh tertentu. Namun ia juga bergantung kesesuaian kos pengajian yang mereka ambil.

“Misalnya mereka belajar dalam jurusan perubatan yang tiada kaitan dengan YWP, mereka boleh bekerja di tempat lain cuma perlulah maklum kepada kami,” jelasnya lagi.

Selain biasiswa IPT, YWP juga turut memberi bantuan awal persekolahan, biasiswa sekolah rendah, biasiswa anak angkat dan sebagainya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas