Berita

YWP komited rangka program, bantu warga Wilayah Persekutuan

THAQIFFIDDIN (tiga dari kiri) di acara makan malam sempena PESAYA ke-14 di Kuching, Sarawak pada Februari lalu.
- Diterbit 18 Mac 2023 6:00 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) sentiasa fokus dalam membantu rakyat disaat keadaan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan.

Menyedari bebanan yang dihadapi rakyat, YWP tidak putus-putus merangka pelbagai bantuan untuk meningkatkan taraf ekonomi warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Mengakui hal tersebut, salah seorang kakitangan YWP, Muhammad Thaqiffiddin Norrazman mengakui teruja dengan kesungguhan majikannya merencana program demi membantu warga wilayah khususnya.

“Antara peranan YWP adalah memberi platform kepada generasi muda untuk berniaga melalui program Usahawan Anak Muda Kota (UAMK).

“YWP sentiasa menyokong anak-anak muda untuk menjana pendapatan dengan menyediakan lokasi berniaga dan bantuan gerai mudah alih,” ujar Pembantu Tadbir YWP ini menjelaskan program tersebut turut mendapat sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan agensi terlibat.

Tambahnya lagi, YWP turut menyediakan Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan yang bertujuan memberi pinjaman modal perniagaan tanpa sebarang faedah selain Program MyGrocer@ Wilayah.

“Program MyGrocer@Wilayah adalah jualan murah barangan keperluan asas kepada penduduk di Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam.

“Bukan itu sahaja, YWP juga akan terus menyalurkan bantuan khas untuk pendidikan, pelaksanaan program, bantuan bencana, bantuan perubatan dan banyak lagi,” jelasnya yang sentiasa terlibat dalam aktiviti turun padang. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas