Berita

YONNYBOII Serah Kepada Peminat Untuk Menilai

|YONNYBOII kini popular dengan lagu Salahku 3.0
- Diterbit 19 November 2020 4:30 AM MYT

PENYANYI dan komposer muda berbakat besar, Yonnyboii kini muncul dengan lagu Salahku 3.0 yang asalnya diberi judul Salahku yang menjadi lagu tema drama bersiri Budak Tebing.

Sehingga ke hari ini lagu ini masih mendapat sambutan peminat muzik Malaysia. Video lirik rasmi lagu ini yang dimuatnaik sejak April lalu telah mencapai lebih 3.3 juta tontonan. 

Manakala video muzik rasmi ‘Salahku’ pula berjaya menjana lebih 6.8 juta tontonan sejak dilancarkan pada Ogos lalu. 

Jika dikira dengan jumlah tontonan video persembahan ‘live’ dan video tidak rasmi berkaitan lagu ini di saluran-saluran YouTube, lagu ciptaan dan dendangan Yonny ini sebenarnya sudah menjana belasan juta tontonan di YouTube. 

Ini tidak termasuk dengan jutaan kali lagunya dimainkan di platform penstriman muzik digital. 

Bagi mengekalkan kelangsungan lagu ini Yonny mempertaruhkan versi terbaharu lagu ini yang diberi judul sebagai Salahku 3.0.

YONNYBOII kini popular dengan lagu Salahku 3.0

Menerusi Salahku 3.0, Yonny cuba mempamerkan sisi berbeza dari segi gubahan muzik serta jiwa lagu itu sendiri. 

“Dalam versi terbaharu ini, lagu ini bukan sahaja diberi gubahan yang lebih segar malah lirik lagu ini juga dirombak sedikit bagi menyuntik semangat dan jiwa berbeza kepada lagu ini. 

“Walaupun perubahannya nampak kecil namun ianya membawa makna yang sedikit berbeza. Saya menyerahkan kepada peminat untuk menilai apa yang cuba saya sampaikan menerusi versi terbaharu ini,” ujar Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin,22. 

Lagu Salahku 3.0 diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dengan kerjasama Def Jam Malaysia. 

Lagu ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer.

Manakala video lirik lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Semoga Yonnyboii terus sukses dan jangan lupa diri ya! – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas