Berita

YMFH sasar B40 miliki rumah pertama

|
- Diterbit 3 Februari 2023 7:39 AM MYT

KESUKARAN memiliki rumah pertama disebabkan tidak melepasi kelayakan dan syarat yang diperlukan mendorong Yayasan My First Home (YMFH) mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan jurang antara kemampumilikan rumah di Malaysia khususnya dalam kalangan kategori berpendapatan rendah (B40).

Meskipun berbeza tujuan dan matlamat penubuhannya dengan yayasan sedia ada yang lain, YMFH tidak hanya menumpukan kepada satu kategori sahaja malah menyamaratakan bantuan tersebut dalam skop kategori B40 khususnya kepada isi rumah dan bujang berpendapatan di bawah RM5,000 termasuklah komuniti orang asli dan setinggan di seluruh Malaysia.

Pengurus Besar Yayasan My First Home, Nambee Ashvin Nambiar berkata kehidupan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan YMFH terutama dari aspek kualiti hidup dan keselesaan sebuah keluarga di rumah.

“Pada masa ini, kebanyakan rumah di Malaysia boleh dianggap sempit dan kurang selesa terutama buat keluarga yang mempunyai bilangan isi rumah yang besar kerana rata-ratanya memiliki rumah yang berkeluasan sederhana, bilik yang terhad iaitu tiga bilik tidur dan dua bilik air sahaja.

“Yayasan percaya bahawa keselesaan keluarga isi rumah adalah penting untuk jangka masa panjang. Justeru, kami nekad mendekati kumpulan berpendapatan rendah dan minoriti di Malaysia untuk mengurangkan jurang antara kemampuan memiliki rumah dalam masyarakat serta pembiayaan rumah yang bertepatan dan bersesuaian.

“Disebabkan itu, Pengerusi YMFH, Tan Sri Vincent Tan bertindak untuk membantu golongan tersebut melalui pelbagai cara dan antaranya mewujudkan tiga rekaan unit rumah dengan menumpukan kepada golongan B40. Menariknya, segala rekaan adalah hasil ideanya tersendiri dengan keluasan yang berbeza-beza,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Selasa.

Sebagai rekod, YMFH merupakan sebuah yayasan kebajikan yang ditubuhkan pada 23 Disember 2021 sebagai syarikat jaminan terhad di bawah Akta Syarikat 2016. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas