Berita

Yayasan Taqwa sumbang RM148,000 dana pendidikan untuk dua anak syarikat UIAM

PENGERUSI Yayasan Taqwa-MAIWP, Datuk Razali Shahabudin menyerahkan mock cheque kepada Pengerusi IIUM Education, Mohd Khair Ngadiron baru-baru ini.
- Diterbit 11 Januari 2022 4:24 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Yayasan Taqwa telah memperuntukkan sebanyak Rm148,000 untuk membiayai program pendidikan di bawah pengendalian dua buah anak syarikat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) iaitu IIUM Education Division dan IIUM Holdings Sdn Bhd. (IIUM Education).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa, Zabidi Nasan berkata, program tersebut adalah tajaan pembiayaan pendidikan kepada pelajar antarabangsa Kolej Islam Antarabangsa (IIC) yang beragama Islam, tidak berkemampuan serta mengalami masalah kewangan untuk melanjutkan pelajaran.

“Bagi program pertama, tajaan ini adalah khusus untuk 24 pelajar antarabangsa warganegara Myanmar yang sedang mengikuti Diploma Teknologi Maklumat di Kolej Islam Antarabangsa (IIC) dan ia merupakan tanda pihak MAIWP mengambil berat kerana keadaan masyarakat muslim yang kurang bernasib baik.

“Yayasan Taqwa turut menyalurkan bantuan pembiayaan kepada IIUM Educare bagi menjayakan Program Hebat Baca Bahasa yang menyasarkan kanak-kanak berumur lima dan enam tahun dari keluarga B40 dan asnaf yang mempunyai masalah membaca,” katanya dalam sidang media Majlis Apresiasi Tajaan Pembiayaan Pendidikan Oleh Yayasan Taqwa kepada IIUM Education di ibu negara baru-baru ini.

Pihak YT-MAIWP turut menyumbangkan ‘Kotak Kegembiraan’ yang mengandungi sebuah laptop, set meja belajar, alat tulis dan buku bagi memberi mereka motivasi untuk belajar lebih tekun dan mempersiapkan diri sebelum memasuki alam persekolahan darjah satu.

Menjelas lanjut, Zabidi berkata, YT merupakan agensi MAIWP dan sebahagian kecil sumbangan zakat telah disalurkan kepada YT bagi tujuan solidariti bersama asnaf luar daripada Wialayah Persekutuan termasuk negara-negara minoriti muslim.

“Apabila wang zakat ini dikeluarkan, sebahagiannya akan disalurkan di dalam negeri dan kita turut membantu golongan asnaf di negara minoriti muslim tanpa meremehkan kepentingan dan kebajikan asnaf di Wilayah Persekutuan yang telah disantuni dengan baik oleh MAIWP,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi IIUM Education, Mohd Khair Ngadiron berkata, 24 pelajar Myanmar yang dipilih ini dipilih berdasarkan kepada kriteria tertentu termasuklah mudah mendapat peluang pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian di IIC.

“Dalam keadaan semua perkara telah ke arah pendigitalan, tajaan ini akan bermanfaat kepada pelajar-pelajar ini kerana kursus yang mereka sertai ini memudahkan mereka kerana bidang Teknologi Maklumat (IT) ini mendapat permintaan dan peluang pekerjaannya sentiasa ada.

“Sumbangan ini akan memastikan mereka meneruskan pembelajaran dengan sempurna dan selepas mereka berjaya mendapat peluang pekerjaan, mereka dapat membangunkan umat Islam di negara mereka,” katanya.

Tambahnya, pihak IIC juga bakal memeterai kerjasama strategik dengan International Intellectual College of Myanmar bagi memastikan pembangunan umah terutama dalam bidang Teknologi Maklumat berkembang di serata dunia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas