Selebriti

Yayasan Metamorphosis peruntuk RM 1 juta bantu mangsa banjir, selebriti

Azman Adnan turut dikunjungi Presiden Yayasan Metamorphosis
- Diterbit 14 Januari 2022 2:55 PM MYT

PELBAGAI pihak termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan individu dan perseorangan terus mencurah bakti dengan menghulurkan bantuan dalam usaha meringankan beban ditanggung mangsa banjir akibat bencana alam yang menimpa sekitar Selangor dan Pahang, baru-baru ini.

Ini termasuklah Yayasan Metamorphosis bersama pasukannya dalam menjalankan Misi Jiwa Prihatin bagi membantu mangsa banjir.

Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Aliff Zain berkata, dia dan pasukannya agak terlewat menghantar bantuan disebabkan menjalani tempoh kuarantin berikutan menjadi kontak rapat pesakit COVID-19.

“Habis sahaja tempoh kuarantin, saya terus mempersiapkan pasukan untuk turun padang bagi menghulurkan bantuan.

“Dari segi dana, Yayasan Metamorphosis tidak kutip mana-mana sumbangan, ini hasil pendapatan perniagaan yang disalurkan kepada yayasan ini.

“Kami melawat bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin di Banting, Selangor, kemudiannya ke rumah penyanyi Ezad Lazim di Kota Warisan, Sepang.

“Seterusnya, kami menjengah bekas pemain bola sepak negara, Azman Adnan dan isterinya, As Feminin; penyanyi otai, Yantzen dan pemain bass kumpulan Damasutra, Amran di sekitar Hulu Langat.

“Sepatutnya, kami singgah ke rumah pelawak, Ebby Yus di Hulu Langat, tetapi saya dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital.

“Misi Jiwa Prihatin ini turut menghulurkan bantuan kepada individu lain yang menjadi mangsa banjir, bukan hanya golongan selebriti,” katanya.

BEKAS pemain bola sepak negara, Azman Adnan turut dikunjungi Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Aliff Zain (Kanan).

Aliff yang juga usahawan dari Pulau Pinang berkata, secara kasar, Yayasan Metamorphosis memperuntukkan antara RM500,000 hingga RM1 juta bagi Misi Jiwa Prihatin di seluruh Malaysia.

“Bukan hanya menyediakan sumbangan berbentuk wang ringgit, malah, pelbagai barangan elektrik seperti mesin basuh, peti ais dan katil. Ini termasuk juga keperluan asas seperti pinggang mangkuk, dapur dan sebagainya.

“Misi Jiwa Prihatin bermula ketika banjir besar di seluruh Malaysia pada 2014.

“Dan saya sendiri turun padang agak sedih dengan nasib menimpa mangsa banjir. Saya lihat mereka perlu memulakan kehidupan baharu, ada yang sehelai sepinggang, tak kira kaya atau miskin.

“Jadi, dari situ, kami meneruskan Misi Jiwa Prihatin tahun demi tahun. Saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia menghulurkan sumbangan membantu mangsa banjir bukan hanya kejadian tahun ini, tetapi juga pada masa akan datang,” katanya.

ALIFF turut membantu meringankan beban penyanyi otai Yantzen

Aliff berkata, dia juga mengalu-alukan sukarelawan yang menyertai Yayasan Metamorphosis, mereka boleh menghubungi kami menerusi Facebook Yayasan Metamorphosis.

“Dan, hari ini Yayasan Metamorphosis bekerjasama dengan rider penghantar makanan. Bukan sahaja bangsa Melayu, malah Cina dan India turut berganding bahu membantu mangsa banjir,” katanya.

DATUK Aliff Zain (tengah berbaju biru) bersama pasukan Misi Jiwa Prihatin bagi membantu mangsa banjir.

 

As Feminin, Ezad Lazim terharu

“Terpaksa bermula dari kosong” – As Feminin

Anggota kumpulan Feminin, As berbesar hati apabila Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Aliff Zain datang menghulurkan bantuan.

“Terima kasih, semoga Allah membalas jasanya membantu mengurangkan bebanan saya sekeluarga.

“Saya tak boleh agak anggaran kerugian. Tetapi, apa yang boleh saya cakap kena bermula dari kosong semula. Bukan hanya semua barang elektrik rosak, malah, lantai pun pecah.

“Ia seperti membina rumah baharu. Satu rumah pula kena buat wiring semula.

“Memang saya amat terkesan, tetapi, saya nak ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sangat prihatin dan tidak berkira. Bila berlaku bencana ini, barulah saya nampak rakyat Malaysia sangat bersatu dan bermurah hati, tak kira apa bangsa dan agama. Saya memang respek pada masyarakat majmuk kita,” katanya.

AS Feminin berbesar hati apabila Datuk Aliff Zain datang menghulurkan bantuan.

 

“Barang koleksi peribadi musnah” – Ezad Lazim

Manakala Penyanyi Ezad Lazim mengaku sedih apabila koleksi peribadi ya habis musnah disebabkan banjir namun bersyukur semua ahli keluarganya selamat.
“Ini pengalaman kali pertama berdepan musibah banjir sejak pindah ke rumah sendiri di Kota Warisan, Sepang.

“Banyak barang koleksi peribadi musnah dan rosak. Saya memang suka simpan barang-barang yang ada nilai sentimental.

“Saya simpan koleksi CD dan VCD original dari penyanyi yang saya minat. Saya kumpul dari zaman muda.

“Ini termasuklah koleksi gambar saya dengan bekas kumpulan dan alatan muzik seperti gitar. Ada antaranya saya simpan dan tidak pernah guna.

“Namun, agak sedih alatan muzik artifak arwah bapa tidak boleh diselamatkan,” katanya.

PENYANYI Ezad Lazim turut menerima bantuan daripada Datuk Aliff.

Ezad berkata, ini kategori koleksi barang-barang peribadi yang disayang, tetapi tidak mengapalah.

“Apa yang penting, nyawa. Alhamdulillah, isteri dan anak-anak berada dengan saya ketika banjir, jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan sangat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas