Berita

Yayasan Bena Nusa bantu golongan B40

JOHARI (kanan) menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur kepada salah seorang penerima di Dewan Kampung Sungai Baru.
- Diterbit 29 November 2020 6:37 AM MYT

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasa Mac lalu, pelbagai inisiatif bantuan dilaksanakan Yayasan Bena Nusa khusus untuk membantu rakyat B40 sekitar Titiwangsa yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Setakat ini, dua program Bantuan Covid-19 iaitu sumbangan Prihatin 1.0 dan 2.0 telah dijalankan dengan memanfaatkan hingga 14,000 penduduk di kawasan penempatan bersasar melalui agihan barangan basah dan barang keperluan dapur.

Pengerusi Yayasan Bena Nusa, Datuk Seri Johari abdul Ghani berkata, pelbagai jenis kesukaran dihadapi masyarakat terutamanya kelompok B40 hilang pekerjaan dan punca pendapatan telahpun mendorong pihak yayasan tampil bagi membantu meringankan beban penduduk.

Katanya, melalui Program Bantuan Covid-19 Prihatin 1.0 yang lalu, sejumlah 7,000 warga penduduk telah dibantu dengan mengagihkan barangan basah seperti ikan, udang dan ayam untuk menampung keperluan mereka sekeluarga.

“Terkini, inisiatif sama iaitu sumbangan Prihatin 2.0 pula dilaksanakan dengan bantuan makanan kering antaranya beras, tepung, minyak masak, gula, mee segera dan lain-lain barang keperluan juga diagih di semua 17 kawasan penempatan sekitar Titiwangsa yang majoritinya rakyat B40.

“Sumbangan ini walau tidak sepenuhnya mampu selesaikan kepayahan dihadapi mereka, namun ia sedikit sebanyak membantu kurangkan bebanan 7,000 penduduk yang kami sasarkan ketika ini,” katanya yang ditemui selepas serahan Bantuan Covid-19 Prihatin 2.0 di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, sejumlah 520 penerima telahpun mendapat bantuan barang keperluan harian yang meliputi lapan jenis produk makanan.

Menurut Johari prihatin dengan nasib rakyat yang memerlukan, Yayasan Bena Nusa komited untuk meneruskan program yang sama di masa depan dalam usahanya membantu ringankan bebanan ditanggung rakyat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas