Berita

Yakult komited tingkatkan kesedaran kanser

- Diterbit 29 September 2020 7:38 AM MYT

BERSEMPENA dengan Bulan Kesedaran Kanser Kanak-kanak disambut pada bulan September setiap tahun di seluruh dunia, Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. komited untuk bersama menyebar luas kesedaran mengenainya.

Usaha tersebut diterjemah melalui usahasama Yakult dengan pihak Persatuan Sokongan Kanser Kanak-kanak PPUKM (CAKNE) yang berganding bahu julung kali menganjurkan Kempen Reben Emas CAKNE yang bertemakan “Kongsi Harapan, Kongsi Kekuatan”.

Bagi Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada, syarikat Yakult sangat berbesar hati di dalam bekerjasama dengan pihak CAKNE untuk meningkatkan lagi kesedaran dan penghayatan rakyat Malaysia berkenaan penyakit kanser yang turut menyerang kanak-kanak.

Selain itu katanya, kedua-dua pihak juga komited untuk lebih memahami setiap cabaran terpaksa dihadapi oleh para pesakit, penjaga dan keluarga terdekat.

“Pada Mei yang lalu, Yakult bersama pemain bola sepak kebangsaan, Hadi Fayyadh bersetuju untuk memberikan sumbangan sebanyak RM120,000 kepada pihak CAKNE meliputi tempoh selama lima tahun sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni dilakukan badan sukarelawan CAKNE.

“Selain itu, bagi rancakkan lagi kempen ini, kami juga akan menghantar minuman probiotik Yakult secara percuma kepada lebih 300 pesakit atau penghidap dan bekas pesakit kanser kanak-kanak di seluruh negara yang telahpun mendaftar untuk program CAKNE Pizzavaganza, iaitu satu acara kemuncak kempen yang diadakan secara atas talian pada 30 September ini,” katanya di dalam kenyataan media.

Hamada menjelaskan, seluruh warga kakitangan syarikat Yakult serta Wanita Yakult akan turut serta
menyemat pin reben emas yang merupakan simbol kapada kanser kanak-kanak pada pakaian seragam mereka pada sepanjang bulan ini.

Pendekatan tersebut katanya, diambil bertujuan untuk meningkatkan rasa prihatin dan ingin tahu orang awam terhadap kempen yang dilaksanakan seterusnya mewujudkan kesedaran di dalam diri setiap anggota masyarakat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas