Berita

YAH sumbang ambulans bernilai RM211,000, Foton View CS2 dilengkapi peralatan perubatan kecemasan

DR AZHAR memberi penerangan tentang peralatan ambulan kepada Sahman Azman (dua kiri) selepas Majlis Penyerahan Ambulans.
- Diterbit 7 Januari 2022 7:10 AM MYT

PANDEMIK COVID-19 secara tidak langsung menyebabkan peningkatan terhadap perkhidmatan ambulans sehingga berlakunya kekurangan di Lembah Klang.

Menyedari perkara itu, Yayasan Azman Hasmin (YAH) menyumbangkan sebuah ambulans baharu bernilai RM211,000 kepada St. John Ambulans Malaysia Wilayah Persekutuan (SJAMWP).

Sumbangan itu susulan, SJAMWP telah menyokong dan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) melalui perkhidmatan ambulans mereka sepanjang penularan wabak pandemik berlangsung.

Pengasas YAH, Tan Sri Azman Hashim berkata, diharapkan sumbangan yang dilakukan itu akan mendorong St. John Ambulans Malaysia Wilayah Persekutuan melakukan dan menyediakan lebih banyak perkhidmatan kepada masyarakat.

“Pada 2021 sahaja, SJAMWP telah mengendalikan lebih daripada 1,217 kes kecemasan dan jumlah ini meningkat setiap tahun.

“Oleh kerana ambulans sedia ada semakin uzur dan bilangan ambulans tidak dapat menampung permintaan yang semakin meningkat setiap tahun, pihak YAH sudi mendermakan sebuah van ambulan berjenama Foton View CS2 baharu dilengkapi peralatan perubatan kecemasan.

“Ambulans tersebut akan digunakan oleh SJAMWP untuk terus menampung perkhidmatan ambulans kecemasan 24jam yang disediakan secara percuma kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, penyerahan disampaikan Pengarah Amcorp Group Berhad, Sahman Azman kepada Pengerusi SJAMWP, Komander Wilayah Dr Muhd Siv Azhar Merican Abdullah.

Bagi mendapatkan perkhidmatan berkaitan, orang ramai boleh menghubungi 03-9285 5294. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas