
Wujudkan industri biji benih bunga
Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN
KUALA LUMPUR – Jabatan Landskap Negara komited untuk mewujudkan dan menerajui industri pengeluaran biji benih bunga bagi mengurangkan kos import khususnya jenis bunga semusim dari negara luar.
Ketua Pengarahnya, Rotina Mohd. Daik berkata, perkara itu merupakan antara fokus utama jabatannya berikutan kos untuk membeli biji benih bunga semusim semakin meningkat.
Jelas beliau, pada masa sama, bunga yang dihasilkan itu tidak bertahan lama dan ia menyebabkan kerajaan perlu sentiasa menggantikannya bagi mengekalkan keindahan landskap negara.
“Bagi industri ini, kita akan fokus kepada penyelidikan supaya dapat menghasilkan biji benih yang tahan lama. Maksudnya biji benih yang dapat mengeluarkan bunga yang tahan lebih lama kerana bunga yang ada sekarang bertahan selama tiga bulan sahaja.
“Kalau boleh jangka hayat bunga itu lebih panjang dan lebih ekonomik kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak-pihak lain yang menggunakannya,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Mengulas tentang potensi industri tersebut, Rotina memberitahu, ia boleh dimajukan di negara ini terutama benih yang melibatkan bidang landskap seperti bunga celosia, begonia dan salvia.
Ini kerana, ujar beliau, Malaysia merupakan negara beriklim tropika dan mempunyai suhu yang bersesuaian untuk industri biji benih malah kebanyakan pokok landskap seperti bunga renek memang berasal dari kawasan perkampungan di sini.
Tambah beliau, bagi merealisasikannya, kerajaan khususnya PBT perlu memainkan peranan utama iaitu menjadikan kawasan bandar sebagai contoh sehingga menjadi ikutan negara luar.
Rotina memberitahu, kajian industri benih bunga akan dijalankan oleh pihak Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) dan agensi itu sedang menunggu peruntukan sewajarnya bagi membolehkan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilakukan dengan sempurna.
“Kajian lebih menjurus kepada ketahanan bunga, pendebungaan dan sebagainya,” katanya.