Utama

Wisma Putra sahkan seorang rakyat Malaysia maut, 10 cedera

KEADAAN bas yang dinaiki 35 warganegara Malaysia yang terlibat kemalangan di Turki, semalam.
- Diterbit 17 Oktober 2019 4:36 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa seorang warganegara Malaysia maut manakala 10 lagi cedera dalam insiden kemalangan di Afyonkarahisar, Turki yang melibatkan sebuah bas pelancong terbalik ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodokya pada pukul 11.35 pagi (waktu tempatan), semalam.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa yang tercedera telah dikejarkan ke Hospital Afyonkarahisar bagi menerima rawatan manakala mangsa yang terkorban dihantar ke Dinar State Hospital bagi urusan selanjutnya.

“Kedutaan Besar Malaysia di Ankara telah sedia maklum akan insiden berkenaan dan sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mangsa terlibat,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Wisma Putra merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut.

Kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila sebuah bas ekspres yang membawa 35 rakyat Malaysia di Turki tiba-tiba hilang kawalan dan terbalik akibat keadaan jalan yang licin.

Difahamkan, jarak Ankara ke Afyonkarahisar adalah lebih kurang 300 kilometer atau mengambil masa kira-kira 4 jam bagi perjalanan darat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas